New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/28/perkembangan-nik-aziz-semakin-positif/
Perkembangan Nik Aziz semakin positif
KUALA LUMPUR, 28 Januari:
Keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin memberangsangkan, kata anaknya, Nik Mohamad Abduh.
Menurut Nik Mohamad Abduh, beliau dan keluarga gembira, kerana ayahnya kini boleh duduk di kerusi roda buat pertama kali.
Bekas Menteri Besar Kelantan itu juga dikatakan baru selesai menjalani latihan pemulihan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Ayahanda baru selesai latihan pemulihan. Alhamdulillah, ayahanda boleh didudukkan di atas kerusi roda untuk kali pertama dan mampu bertahan selama setengah jam.
“Ia sudah cukup menggembirakan saya yang menyaksikannya. Semoga ayahanda bertambah gagah hari demi hari.
“Pagi ini, doktor dan pihak hospital berkunjung ke rumah untuk melihat dan membantu kami menyempurnakan keperluan dan persiapan untuk ayahanda, apabila dibenarkan pulang nanti,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu di Facebooknya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan ayahnya dan berharap keadaan Nik Abdul Aziz semakin baik dari semasa ke semasa.
Nik Mohamad Abduh juga bersyukur dan gembira melihat perbezaan agama dan kepercayaan rakyat, tidak menjadi penghalang untuk mendoakan kesejahteraan bapanya.
“Terima kasih buat doa seluruh rakyat Malaysia. Ada rakan bukan Islam mohon diizin menziarahi ayahanda khas untuk berdoa.
“Saya gembira. Walaupun berlainan agama, tuhan yang Esa akan mendengar daripada seluruh hambaNya.
“Tiada nikmat lebih indah di hujung kehidupan manusia, selain doa daripada seluruh makhluk Allah di bumi dan langit untuknya. Semoga ayahanda dikurniai nikmat itu hingga ke akhir nanti…aameen,” tulisnya.
Nik Abdul Aziz, 84, dimasukkan ke hospital pada 19 Januari lalu, kerana kesihatannya merosot ketika bencana banjir baru-baru ini, selain beliau menghidap kanser prostat.
Beliau merupakan Menteri Besar Kelantan kelima dari 1990 hingga 2013.