New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/10/liwat-ii-keputusan-tetap-beri-implikasi/
Liwat II: Keputusan tetap beri implikasi
KUALA LUMPUR, 10 Februari:
“Que sera sera,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laman Twitter miliknya sebagai reaksi terhadap Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan tarikh untuk keputusan rayuan terakhir sabitan kes Liwat II.
Hakikat bahawa hari penentu untuk Ketua Pembangkang Malaysia itu semakin hampir dan ia mula diperkatakan di pihak pembangkang negara ini, rakyat Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa yang melihat keputusan itu bakal memberi implikasi terhadap senario politik dalam negara.
Pelbagai spekulasi dan teori tersebar, termasuk ‘Keputusan tidak rasmi’ juga telah dibuat pelbagai pihak, sementara masa terus berjalan.
Beliau ke penjara. Beliau akan bebas.
Sekiranya cakap-cakap politik menjadi kayu ukur terhadap kes Liwat II, ramai berpendapat, ia akan menjadi pemangkin sokongan terhadap Pakatan Rakyat, walau apa pun keputusannya.
Pakatan Rakyat kini berdepan krisis berhubung dasar dan perbezaan pendapat antara parti komponennya.
Parti Islam PAS dan parti sekular DAP telah lama bertelagah, berhubung isu pelaksanaan Hudud di Kelantan dan terbaru mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketegangan telah menyebabkan pertelingkahan secara terbuka antara pemimpinnya.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun berada dalam keadaan selamat tanpa Ketua Umumnya. Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan bantuan penyokong setia parti, telah menjaga parti ketika Anwar dipenjarakan sebelum ini.
Namun, apa yang membimbangkan ialah, masa depan Pakatan Rakyat itu sendiri.
Walaupun ketiga-tiga parti bersetuju meneruskan perjuangan menentang parti memerintah Barisan Nasional (BN), PAS terutamanya dilihat semakin hanyut, walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Ahad lalu.
Ramai yang menyifatkan krisis dalam Pakatan Pembangkang lebih besar, berbanding kemelut Menteri Besar yang melanda Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini, walaupun masih samar sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, keadaan akan menjadi lebih buruk, seandainya Anwar ke penjara.
Kemelut terkini dalam Pakatan Rakyat dikatakan juga berpunca daripada Anwar sendiri yang tidak mampu menyelesaikan isu berbangkit, kerana terlalu sibuk dengan perbicaraan mahkamah dan memikirkan masa depannya.
Anwar disifatkan sebagai gam yang mencantumkan tiga parti komponen Pakatan Rakyat – PKR, PAS dan DAP yang mempunyai objektif serta tujuan sama.
Dengan memenangi kes ini, beliau boleh terus fokus kepada penyatuan semula pimpinan Pakatan Rakyat.
Pemimpin Pakatan Rakyat yang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan telah bersetuju menangguhkan perbincangan mengenai isu kontroversi, selepas keputusan rayuan itu, di mana mereka juga akan cenderung membincangkan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri, jika Pakatan Rakyat berjaya merampas Putrajaya dan sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada Anwar.
Jika keputusan mahkamah itu tidak memihak kepada Anwar, ia turut membawa maksud pengakhiran kerjaya politik beliau.
Pemimpin berusia 68 tahun itu akan meringkuk di penjara selama lima tahun, hilang kerusi Parlimen Permatang Pauh dan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, selain hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijadualkan berlangsung pada 2018.
Walaupun beliau dibebaskan awal kerana berkelakuan baik, beliau tetap dihalang daripada aktif dalam politik selama lima tahun, yang mana beliau hanya layak bertanding pada pertengahan usia 70-an.
Ya, Anwar sememangnya mengambil pendekatan berani. Beliau perlu, malah sesiapa sahaja yang berada dalam situasinya, pasti akan melakukan perkara sama, terutamanya selepas menuduh musuh politiknya terlibat dalam konspirasi untuk menamatkan kerjaya politiknya.
Beliau yang pernah menyinar dalam UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menafikan tuduhan Liwat I dan Liwat II dalam semua keadaan, serta mendakwa ia hanya bermotifkan politik.
Dr Mahathir pula meminta rakyat menerima apa jua keputusan yang akan diumumkan Mahkamah Persekutuan.
Ketika Anwar dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, ahli UMNO bertindak keluar parti secara beramai-ramai, sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Segelintir penyokong setia beliau bagaimanapun masih kekal dalam parti.
Sekiranya Anwar ke penjara, ia juga mampu mengukuhkan Pakatan Rakyat pada PRU14.
Pakatan Pembangkang telah memenangi 52 peratus undi popular pada Pilihan Raya Umum ke-13, pada 2013.
Malah, ramai pemimpin BN telah menyaksikan bagaimana Parti Keadilan Nasional (kini PKR) yang dibentuk untuk ‘perjuangkan keadilan buat Anwar’, berikutan pemecatannya serta hukuman penjara dalam kes Liwat I, telah menang ke atas UMNO dan penyokongnya, serta membentuk PKR hari ini.
Ketika beliau dipenjarakan selama enam tahun atas tuduhan meliwat pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar, dia dibebaskan pada 2004, selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan liwat, banyak cerita keluar dari Penjara Sungai Buloh, tempat beliau menjalani hukuman – sama ada benar atau hanya rekaan, ia berjaya menawan simpati masyarakat.
Rakyat Malaysia juga menjadi saksi bagaimana Anwar bangkit semula dalam politik, membawa kepada penyatuan tiga parti untuk menguasai pencapaian pada Pilihan Raya Umum pada 2008 dan diteruskan pada 2013, sehingga kini, beliau masih ‘Perdana Menteri Pakatan’.
Beliau dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, seperti pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang percaya beliau akan bebas.
Adakah beliau akan bebas?
Apa pun keputusannya, ia akan menjadi faktor penentu, sebesar mana impaknya ke atas politik Negara.