New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/14/azmin-ikrar-pulangkan-bible-setelah-jadi-mb/
Azmin ikrar pulangkan Bible setelah jadi MB
KUALA LUMPUR, 14 November:
Tindakan memulangkan 351 buah Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah kepada Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) dibuat bagi menunaikan janji setelah memegang jawatan Menteri Besar Selangor, kata Mohamed Azmin Ali.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negerii (ADUN) PKR Bukit Antarabangsa berkata, penyerahan itu dilakukan untuk menambahbaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor.
“Ini adalah salah satu perkara utama, saya berikrar memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.
“Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ia menjadi realiti,” katanya.
Katanya tindakan menyerahkan semula kitab penganut Kristian itu seperti yang dituntut dalam Al-Quran yang menekankan konsep keadilan dan kesederhanaan.
Menurutnya lagi, penyerahan itu juga secara tidak langsung menidakkan sentimen pelampau agama dan kaum yang tidak harus wujud dalam pentadbirannya.
“Apa yang kita saksikan dalam penyerahan Bible pagi ini adalah pengaplikasian konsep keadilan dan kesederhanaan yang dimaksudkan dalam Al-Quran secara realiti.
“Bagaimanapun, seperti kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Negeri Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Azmin mengeluarkan kenyataan berikutan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menyerah kembali 351 buah Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah di Istana Alam Shah, Klang pagi ini.
Penyerahan itu dilakukan sempena kunjungan hormat Pengerusi ACS, Datuk Bolly Lapok terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam kunjungan itu, Bolly ditemani Setiausaha Agung ACS, Elder Ambrose Linang dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Dr Herman Shastri.
Penyerahan turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.











