New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/global/2015/01/02/wang-palsu-bukan-punca-rempuhan-tercetus/
Wang palsu bukan punca rempuhan tercetus
Polis menolak tindakan membuang wang palsu dari sebuah bangunan berhampiran adalah punca rempuhan berlaku di Shanghai, ketika sambutan Tahun Baru 2015, pada Rabu malam lalu.
Laporan media dan catatan di Internet serta media sosial menyalahkan kupon berbentuk wang kertas dolar Amerika, yang sebenarnya barang promosi M18, sebuah kelab malam di Bund, dilempar dari sebuah bangunan berhampiran.
Bagaimanapun, polis menegaskan, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan, perbuatan membuang wang palsu itu hanya berlaku 12 minit selepas rempuhan tercetus, di sebuah plaza yang terletak 60 meter dari tempat kejadian.
“Ini (tindakan membuang wang palsu) berlaku selepas rempuhan tercetus,” demikian menurut kenyataan polis.
Setakat ini, identiti 32 daripada 36 mangsa korban telah dikenal pasti.
Daripada jumlah itu, seramai 28 mangsa berumur 25 tahun dan ke bawah, dengan 21 daripadanya terdiri daripada wanita.
Mangsa korban paling tua berusia 37 tahun.
Mangsa korban paling muda yang dikenal pasti setakat ini pula, adalah kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Mao Yongjie.
Majalah berita Caixin melaporkan, dia yang terpisah dengan ibunya ketika menyertai sambutan Tahun Baru 2015 di Dataran Chen Yi di Bund, kawasan bersejarah yang terkenal di Shanghai, meninggal dunia di hospital.
Menurut laporan itu, ibu mangsa yang terpaksa menyambut tahun baru di hospital, rebah akibat keletihan selepas menangis seharian.
Semalam, Kementerian Luar mengesahkan, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Hangzhou, wilayah Zhejiang, serta seorang lagi warga Malaysia, Ooi Hooi Yi, 20, cedera dalam insiden itu.
Seramai 13 daripada 47 mangsa yang cedera itu berada dalam keadaan kritikal.
Kejadian rempuhan yang meragut sekurang-kurangnya 36 nyawa itu berlaku kira-kira 30 minit sebelum detik 12 tengah malam tahun baru.
Ia adalah tragedi terburuk di Shanghai, selepas kebakaran di sebuah pangsapuri yang mengorbankan 58 orang pada 2010.
Susulan itu, penduduk Shanghai mempersoalkan langkah yang diambil pihak berkuasa tempatan untuk mengawal kesesakan dan keselamatan orang ramai, meskipun polis memaklumkan, seramai 700 anggota mengawal di tempat kejadian pada malam itu.
“Kerajaan Shanghai perlu bertanggungjawab terhadap insiden itu. Kebanyakan mangsa korban muda adalah satu-satunya anak dalam keluarga mereka,” demikian menurut pemandu teksi, Xu Jianzhong.
China mewajibkan setiap pasangan suami isteri hanya boleh memiliki seorang anak.