Bunohan - Sebuah Satira Politik Malaysia?
Melangkah masuk ke dalam pawagam untuk menyaksikan Bunohan, KW sudah dengar komen-komen baik tentang filem ini dari kawan baik KW. Tapi KW merasa sangat bertuah sebab masuk menonton tanpa sedikit pun pengetahuan tentang jalan cerita ataupun perihal watak-watak dalam filem ini. Kesannya, otak KW telah dipaksa bekerja keras untuk memahami plot non-linear Bunohan ini dan juga mengenali setiap watak dan apa kaitan mereka antara satu sama lain.
KW tahu, dah banyak reviu-reviu lain di luar sana yang mengulas tentang Bunohan. Banyak yang memuji benar hasil sinematografi karyawan Jairn Pengpanitch yang sememangnya sangat bergaya setanding hasil filem Hollywood. Art direction-nya yang banyak mengambil semangat alam sekitar seperti pantai paya bakau, pasir pantai, laut, langit tengkujuh dan juga buaya memang benar-benar mengingatkan KW kepada filem Laskar Pelangi namun tona warna yang digunakan lebih gelap sehingga berjaya menghidupkan mood dan tema gelap dan mistik dalam cerita Bunohan ini. Muzik gamelan dan tradisional yang mengiringi filem ini sentuhan Tan Wei Yan, digunakan sebaik-baiknya bagi melambangkan emosi yang sedang dirasai oleh setiap watak.
Bunohan ini ditulis, diolah, diarah dan disunting dengan kemas oleh Dain Said dan editornya HK Panca. Secara zahirnya, mungkin penonton hanya akan nampak kisah jati diri dan semangat 3 beradik tiri yang punya matlamat berbeza dalam kehidupan mereka. Semangat itu, berserta kisah lampau mereka mendorong mereka melakukan pelbagai perkara yang tidak terduga, terutama sekali Ilham (Faizal Hussein), si anak sulung. Dek kerana menjadi anak terbuang, Ilham telah digambarkan sebagai seorang yang berdendam sesuai dengan pekerjaannya sebagai pembunuh upahan. Bakar (Pekin) pula anak hasil dari isteri kedua Pok Eng, watak antagonis yang bertindak selaku puppets-master terhadap kegiatan-kegiatan jahatnya kerana tamak haloba. Terakhirnya kita ada Bunga Lalang atau Adil (Zahiril Adzim) yang tidak mengetahui kedudukan sebenarnya dalam keluarga itu, dan seolah-olah melepaskan kekecewaannya terhadap keluarganya di gelanggang Tomoi.
Terus kepada persoalan utama KW. Adakah watak-watak yang ditampilkan Dain Said ini adalah simbolik atau personafikasi kepada parti-parti politik Melayu utama di Malaysia dengan tanah pantai yang ingin dijual itu digambarkan sebagai negara kita? KW tinggalkan kepada penonton untuk menilai namun ada beberapa justifikasi yang KW boleh tampilkan untuk menyokong inferens ini, Di awal cerita ini kita dapat menyaksikan semua orang mencari Adil. Mencari keadilan? Hendak menjual tanah pun perlu mencari Adil. Kalau tak dapat adil, sekurang-kurangnya berikan kepada Ilham yang lebih layak sebenarnya memiliki tanah itu. Tapi Bakar berkeras mahukan tanah itu dijual demi pembangunan dan keuntungan.
Kita dapat melihat Adil mencari sesuatu dalam hidup, seperti sebuah parti politik mencari arah tuju. Ilham dengan kisah tanah kubur sangat berpegang kepada agama dan adat resam walaupun hidupnya sendiri tidaklah terlalu berpaksikan kebenaran, dan Bakar pula seolah tidak mengendahkan hak orang lain dan rela membunuh demi mendapatkan apa yang dimahukannya. Dah labelkan parti politik masing-masing?
Kemudian, wujud pula watak Jing, kawan baik Ilham berbangsa Cina yang tahu akan rahsia Mek Yah, ibu kepada Ilham. KW masih ingat ayat yang diucapkan oleh Jing tentang bagaimana ahli keluarganya tahu tentang rahsia Mek Yah kerana 'orang Cina pandai simpan rahsia'.
Watak orang kanan Bakar, iaitu Jolok (satu nama yang sangat simbolik) pula ada membalas komen Bakar kepadanya yang mengatakan bahawa dia sesuai menjadi ahli politik dengan 'aku tak boleh jadi ahli politik sebab aku jujur'.
Dialog yang paling berkesan pada KW adalah sewaktu scene Pok Woh (Namron) dan Adil sewaktu berbicara tentang Mek Yah yang mempunyai ilmu perubatan yang sangat luar biasa tetapi beliau banyak cerita-cerita kurang elok yang dijaja orang tentangnya. Pok Woh yang pernah belajar ilmu perubatan dari Mek Yah menyangkal semua itu hanya dengan berkata 'Manusia ni cepat takut dengan benda yang kita tak tahu. Kita pun tak sedar sejak bila takut jadi benci'. Ungkapan ini sememangnya benar, tidak kiralah dalam hidup mahupun politik.
Kesimpulan KW mudah, Bunohan sebuah filem yang penuh dengan ironik dan drama, sama seperti arena politik Melayu. Bakar, watak yang paling kemas dan bersih, tetapi kita tahu dialah yang mempunyai hati paling kotor dan busuk. Ilham, sangat tahu tentang agama dan adat budaya, namun menjadi pembunuh. Adil, seorang yang masih mentah yang mungkin menganggap dia tahu tentang dirinya, namun akhirnya mendapat kebenaran yang menyakitkan.
Akhir sekali, Bunohan bakal menjadi sebuah filem Melayu yang akan dibincangkan dan dijadikan rujukan buat tahun-tahun yang mendatang, sama seperti Layar Lara, Jogho dan Kaki Bakar. Bunohan tidak akan menjadi filem yang akan menggembirakan semua pihak, pasti ada yang membenci dan pasti akan ada cult-followers nya. Namun bagi KW, Bunohan adalah bukti yang kita tak perlukan wanita berkemban, mat rempit, gangster ataupun watak insaf yang kembali ke pangkal jalan untuk menghasilkan sebuah filem yang cantik, bijak dan mengajak penonton berfikir. Kerana Bunohan sebuah filem jujur, yang mengangkat watak-watak biasa di luar sana seperti kita, menjadi sesuatu yang luar biasa. Bukan seperti Faizal Hussein, atau Zahiril Adzim di kaca TV yang disebut di kedai kopi di permulaan cerita.
5 Bintang Bersinar dari 5 Bintang.