New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/06/30/mak-mah-puji-romantis-suami
Mak Mah puji romantis suami
Pelakon veteran, Ruminah Sidek, 69 tahun mengakui Ramadan tahun ini sangat berbeza dengan tahun sebelumnya.
Menyambut bulan puasa pertama selepas bergelar isteri kepada Al Fatah Rahim Ismail pada Mei lalu merupakan saat yang dinanti-nantikan pelakon yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Mah.
“Mak Mah syukur sangat kerana diberi peluang oleh Allah untuk merasa hidup berteman di usia sebegini.
“Alhamdulillah, Ramadan kali ini betul-betul bermakna, selain mempunyai suami yang kejarkan Ramadan, Mah Mah sendiri lebih menghargai Ramadan kali ini,” katanya memulakan perbualan.
Katanya, aktiviti pada bulan ini dipraktiskan sepenuhnya bersama suami tersayang malah mengehadkan aktiviti penggambaran sepanjang bulan ini.
“Selepas berbuka puasa, solat kemudian bersiap sedia untuk ke masjid untuk terawih kemudian mengaji bersama,” katanya kepada The Rakyat Post.
Mengakui gembira dengan kehidupan terkini, pemenang anugerah pelakon wanita terbaik drama dalam Anugerah Skrin 2012 berkongsi pengalaman dan aktiviti pertama bersama suaminya.
“Hari pertama puasa Mak Mah masak lauk kegemarannya iaitu ikan kering masak sambal yang diletak tomato dan mangga, Mak Mah pun suka.
“Kami sering memasak bersama-sama, ikut sunnah nabi. Dia masak nasi dan Mak Mah masak lauk,” ujarnya sambil tergelak.
Malah sikap suaminya yang suka memuji membuatkan dia terasa lebih dihargai.
“Rasa bertuah kerana dia sering memuji, apa sahaja yang Mak Mah buat dia akan puji..Mak Mah pula selalu usahakan apa yang dia nak makan,” katanya.
Sementara itu, dia turut berkongsi cerita mengenai sikap anak-anaknya yang sentiasa mengambil berat dan tidak pernah melupakan dirinya walaupun sudah berteman sekarang.
“Mereka selalu telefon tanya khabar dan ucap selamat berpuasa, semalam mereka berbuka bersama-sama adik beradik di Klang. Mak Mah pun tunggu mereka datang di sini (Nilai) untuk berbuka bersama-sama..nak masak sedap-sedap untuk anak menantu,” ujarnya gembira.