New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/31/fahmi-berdepan-9-pertuduhan-tatatertib/
Fahmi berdepan 9 pertuduhan tatatertib
KUALA LUMPUR, 31 Oktober:
Universiti Malaya (UM) hari ini mengenakan tindakan tatatertib ke atas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol atas penganjuran pidato umum, ’40 Tahun dari UM ke Penjara’ oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.
Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh jawatankuasa disiplin pelajar yang diterimanya pada pukul 6.58 petang tadi, Fahmi berdepan dengan sembilan pertuduhan.
Antara pertuduhan yang dikenakan kepadanya ialah menganjurkan satu perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran Naib Canselor, menghadiri satu perhimpunan yang tidak dibenarkan universiti dan menjalankan urusan yang merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baik universiti di kampus.
Seterusnya, tuduhan berikutnya ialah menjalankan urusan yang merosakkan atau memudaratkan ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib di kampus, melakukan perbuatan yang menyebabkan apa-apa halangan, kesulitan, kegusaran, kerugian atau kerosakan kepada mana-mana orang dalam universiti, memiliki alat pembesar suara atau alat-alat serupa tanpa kebenaran Naib Canselor.
Dua pertuduhan terakhir ialah gagal mengikut arahan kakitangan atau pegawai universiti semasa perhimpunan serta gagal mematuhi surat tunjuk sebab pada 23 Oktober.
Perbicaraan bagi kes tersebut dijadualkan pada 7 November depan pada pukul 9 pagi di Bilik Mesyuarat Perdana 2, Aras 2, Blok D, Kompleks Perdanasiswa, UM.
Sekiranya didapati bersalah di atas mana-mana satu atau lebih pertuduhan, Fahmi boleh dikenakan tindakan iaitu amaran, denda tidak melebihi RM200, dilarang daripada mana-mana bahagian tertentu universiti, digantung sebagai pelajar UM bagi tempoh ditetapkan dan dipecat dari universiti.
Dalam pada itu, ketika dihubungi The Rakyat Post Fahmi memberitahu lapan lagi pelajar turut dikenakan tindakan tetapi hanya dirinya sahaja yang menghadapi sehingga sembilan pertuduhan.
“Secara peribadi, saya berasa kecewa dengan pihak pengurusan UM dan selebihnya saya perlu berbincang dengan pimpinan PMUM terlebih dahulu,” katanya.