New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/08/07/penceramah-bebas-perlu-mohon-tauliah/
Penceramah bebas perlu mohon tauliah
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan mana-mana penceramah yang ingin memberi ceramah agama, supaya memohon tauliah daripada Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing terlebih dahulu.
Pengarahnya, Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata pemohon tauliah perlu memenuhi beberapa kriteria, sebelum dibenarkan memberi ceramah agama.
“Antara syarat penting ialah pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas, warganegara dan memiliki sekurang-kurangnya sijil Empat Thanawi atau setaraf,” katanya.
Menurutnya, prosedur yang perlu dilalui untuk mendapatkan tauliah amat mudah, iaitu individu terbabit hanya perlu mengisi borang permohonan tauliah yang disediakan Pejabat Agama Islam Daerah berhampiran tempat tinggal.
“Setiap tauliah akan dikategorikan, antaranya seperti Tauliah Ceramah Umum (D1) yang membenarkan pemegangnya memberi ceramah umum berhubung apa-apa aspek agama Islam, di mana-mana tempat dan dengan apa-apa jua cara, selain mengajar agama Islam secara berkala.
“Tauliah Mengajar Agama Islam Berkitab (D2) yang membenarkan pemegangnya mengajar agama Islam secara berkala, menggunakan kitab di mana-mana tempat. Tauliah Mengajar Al-Quran (D3) yang membenarkan pemegangnya mengajar Al-Quran di mana-mana premis, dan Tauliah Khas (D4) bagi individu yang tidak memiliki kelayakan pengetahuan agama Islam di peringkat Empat Thanawi dan mempunyai kepakaran tertentu seperti motivasi, pembangunan insan, zakat dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, penceramah yang mengajar tanpa tauliah boleh dikenakan hukuman denda, jika disabitkan kesalahan mengajar tanpa tauliah.
“Dendanya tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 19 – Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.
Orang awam boleh mendapatkan senarai terkini penceramah atau pendakwah di Selangor, melalui laman www.jais.gov.my, merujuk kepada Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran atau hubungi Unit Dakwah Dan Tarbiah Bahagian Dakwah JAIS di talian 03- 55143514/ 3513.