New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/07/akta-hasutan-terpakai-selagi-tidak-diganti/
Akta Hasutan terpakai selagi tidak diganti
Akta Hasutan 1948 masih terpakai bagi mengendalikan kes-kes membabitkan kecenderungan menghasut.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, akta itu akan diguna pakai sehingga ia diganti dengan akta baru.
“Sekarang ini, yang hanya ada adalah Akta Hasutan. Kerana ini yang ada, sementara kita menghasilkan satu akta baru yang boleh mengambil alih kes berkaitan.
“Sebab kita tak mempunyai akta lain bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan mempunyai kecenderungan untuk menghasut.
“Sebab itu, kita hanya bergantung kepada akta ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, hari ini.
Malah, jelas Nancy lagi, kerajaan tidak mencampuri proses pendakwaan terhadap mereka yang dituduh di bawah akta berkenaan, memandangkan pendakwaan dijalankan sepenuhnya oleh pihak Peguam Negara.
Tambahnya, tidak wujud ‘double standard’ dalam melakukan pendakwaan seperti yang dituduh pihak pembangkang dengan jolokan ‘pendakwaan terplilih’.
“Keputusan untuk melakukan pendakwaan berdasarkan keterangan fakta kes, bukan atas desakan mana-mana pihak.
“Kalau apa-apa berlaku, kita tidak memilih sama ada dari pembangkang atau Barisan Nasional (BN). Keputusan yang dibuat adalah adil, tidak memihak kepada sesiapa berteraskan integriti, bagi memastikan orang awam menerima keadilan.
“Sesiapa yang sengaja mewujudkan kenyataan akan dikenakan undang-undang sewajarnya, tanpa mengira status,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong.