Vape Merosakkan Ketamadunan Manusia
‘Wowow’
Fuuuhhh
Kelihatan asap kepul menyelebungi sekumpulan anak remaja di kawasan kedai makan mamak di tengah-tengah bandar itu.
Tidak kira lelaki atau wanita, sama sahaja.
Kalau dahulu, rokok adalah satu trend `cool’ buat belia, tapi kini trend yang lebih membahayakan adalah vape. Vape ibarat pengganti moden kepada rokok kerana dikatakan mengandungi kuantiti nikotin yang lebih sedikit berbanding rokok. Hujah inilah juga yang digunakan oleh kebanyakan perokok untuk berhenti merokok kerana vape dipercayai mengandungi kuantiti nikotin yang lebih sedikit berbanding rokok.
Bagi saya, mungkin ia adalah suatu kelegaan buat perokok kerana telah menemui jalan lain bagi mengurangkan pengambilan nikotin bahkan ia juga adalah suatu alternatif mudah buat mereka untuk perlahan-lahan berhenti daripada mengambil nikotin dan secara tidak langsung berhenti merokok.
Walaubagaimanapun, kajian mendapati hanya 20% daripada penghisap rokok yang berhasrat untuk berhenti merokok berjaya dengan vape. Bahkan, tidak kurang juga daripada perokok yang mengambil vape ini menghisap kedua-duanya; dan berterusan ketagihan.
Hari ini, vape telah menjadi satu `virus’ bahaya kepada anak muda. Lebih-lebih lagi apabila ia dilabel sebagai trend terkini, dan sesiapa yang menghisap vape digolong sebagai golongan ‘cool’ dan bergaya. Virus ‘cool’ dengan vape ini menular dengan pantas sejak tahun 2015.
Menurut sejarah, vape moden ini sebenarnya telah lama wujud, namun ia menjadi viral sejak kebelakangan ini kerana spekulasi yang mengatakan vape mampu membantu perokok tegar berhenti merokok, bahkan menjadi satu trend baru bagi anak muda yang tidak merokok. Kesannya, lebih ramai anak muda syang pada mulanya tidak merokok, telah menghisap vape.
Mengapa trend ini dibimbangkan?
Mengikut kajian saintifik, vape dibuktikan mengandungi nikotin dan propylene glycol yang apabila dipanaskan dalam cecair melebihi lima volt, ia akan menghasilkan cecair yang bersifat bahan pengawet (formaldehyde) yang boleh mendatangkan kanser. Tambahan pula, hospital di Florida melaporkan peningkatan jumlah pesakit mereka di unit kecemasan adalah dari kalangan mereka yang mengambil dadah sintetik secara tidak sedar dan lebih mengejutkan, kebanyakan dari kalangan mereka ini adalah penghisap vape. Hal ini membuktikan bahawa kemungkinan besar, vape mengandungi dadah sintetik yang bukan sahaja membahayakan penghisap vape, bahkan masyarakat sekeliling yang menyedut asap vape tersebut.
Kes ini mengingatkan saya kepada suatu peritiwa yang terjadi sekitar tahun lepas dalam suatu konsert tertutup di sekitar Kuala Lumpur yang membawa kepada kematian mengejut beberapa belia muda yang dipercayai akibat daripada overdose dadah dalam badan. Saya yakin, kita tidak berhasrat untuk mengulangi sejarah ini lagi dengan kewujudan vape yang dikhuatiri mengandungi dadah sintetik yang bakal mengundang peritiwa yang sama, bahkan mungkin lebih ramai anak muda yang bakal terkena akibat, daripada pembawaan vape ini. Kita perlu ingat, kandungna vape adalah lebih sukar untuk dikenalpasti berbanding rokok kerana proses penghasilan cecair vape yang pantas dan mudah itu.
Dari sudut agama pula, menurut Mufti Wilayah Perseketuan, Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, juga mengatakan vape adalah haram berdasarkan qiyas kepada rokok serta mungkin ia adalah lebih memudaratkan jika dibandingkan dengan rokok biasa. Tambahan menurut beliau, vape adalah suatu pembaziran, selain meniru budaya bukan islam dan dilihat tidak bermaruah. Oleh yang demikian, fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya adalah sama seperti rokok biasa, iaitu haram.
……………………….
Soalnya, apakah punca gejala sosial ini terjadi?
Pada pandangan saya, ia bermula dengan pengaruh daripada rakan-rakan yang mengajak kearah ‘vape habit’. Golongan anak muda ini merasakan, semburan asap vape secara beramai-ramai itu adalah suatu kebanggan dan kepuasan sepertimana rokok sebelum ini. Walhal, kuasa vape adalah lebih hebat daripada rokok. Anak muda yang tidak merokok hari ini, sudah pandai menghisap vape untuk tergolong dalam kalangan mereka yang mengikut `trend’ kononnya.
Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan sepenuhnya anak muda kita yang menghisap vape, tetapi semua pihak yang bertanggungjawab terhadap gejala yang semakin membimbangkan ini. Gejala ini perlu dibendung dengan usaha beramai-ramai. Bagi saya, para penjual vape harus menyekat pembelian vape kepada golongan muda yang tiada sejarah rokok mahupun pelajar sekolah, manakala para guru harus mendidik pelajar tentang bahaya dan kesan negatif vape kepada diri dan masyarakat, serta para ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mengenai vape. Pihak kerajaan juga harus menyekat penjualan vape yang semakin meluas ini dengan lebih terperinci. Jangankan kerana kepentingan, masa depan anak muda kita pula yang digadaikan. Anak muda kita adalah aset paling penting dalam kepimpinan negara masa akan datang.
Bagaimana untuk kita tangani?
Saya yakin, setiap masalah dan isu dapat diselesaikan dengan didikan yang betul dan tersusun.
Pada hari ini, terdapat pelbagai institusi yang menggerakkan pelbagai lapisan masyarakat yang prihatin dengan masalah ini melalui kegiatan pendidikan melalui seminar di sekolah-sekolah, aktiviti-aktiviti sosial seperti kunjungan ke rumah anak yatim serta aktiviti kebajikan lain seperti kutipan derma dan sebagainya untuk para belia. Aktiviti sedemikian diharapkan dapat membendung anak muda daripada terjebak kepada isu sosial vape dan lain—lain apabila masa mereka penuh dengan aktiviti kebaikan. Vape, bukanlah trend tapi perosak anak bangsa dan ketamadunan generasi kita.
Terima kasih
Nurasyikin Mohd Noh
Belia prihatin











