New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/18/zairil-bias-cetek-pemikiran-dan-perkauman-ahmad-shabery/
Zairil bias, cetek pemikiran dan perkauman - Ahmad Shabery
PUTRAJAYA, 18 November:
Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera DAP, Zairil Khir Johari bersikap bias, cetek pemikiran dan bersifat perkauman apabila membuat kenyataan terbuka mendakwa masalah kemiskinan orang Melayu di Pulau Pinang diwarisi daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ahmad Shabery berkata, Zairil seolah-olah mengalami krisis identiti yang serius kerana hanya melihat dari satu aspek perkauman yang sempit.
“Kenapa beliau tidak bercakap mengenai kejayaan orang Cina di sana juga disebabkan oleh BN.
“Dia bercakap seolah-olah kejayaan orang Cina disebabkan mereka bagus dan pandai bekerja tetapi apabila orang Melayu miskin adalah kerana kerajaan BN yang salah.
“Sebab itu saya katakan ada orang yang berlindung di sebalik meritokrasi tetapi berkemungkinan mempunyai pemikiran rasis,” tegas Ahmad Shabery.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Komunikasi Mudah Alih dan Pembangunan Luar Bandar di sebuah hotel di Putrajaya pada Selasa.
Laporan media memetik Zairil mengaitkan kemiskinan masyarakat Melayu Pulau Pinang dengan BN ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Shabery sebelum ini bahawa ada ‘sebuah negeri’ (merujuk kepada Pulau Pinang) yang secara halus mendiskriminasi orang Melayu dengan bersembunyi di sebalik dasar meritokrasi.
Ahmad Shabery hari ini selanjutnya berkata, seseorang itu mungkin menafikan dirinya mengamalkan sikap perkauman, tetapi di sebalik kata-kata dan dasar yang dipegang orang ramai boleh melihat sama ada beliau menjurus ke arah itu.
“Oleh itu, perkara ini perlu diteliti kerana dia boleh berlaku di mana-mana saja dan kenyataan Zairil itu sememangnya tidak adil dan mesti dilihat secara menyeluruh,” tegas beliau.












