Dalam hidup yang singkat ini, kita kena bijak membuat pilihan. Samada hidup sekadar bernafas ataupun meninggalkan legasi.
Fikir panjang setiap apa yang kita nak lakukan. Kadangkala pilihan yang kita nampak itu penuh dengan keburukan, tetapi Allah semmbunyikan padanya banyak kebaikan.
Sukar sebenarnya untuk membuat pilihan yang tepat melainkan orang mukmin yang apabila membuat pilihan, dia menggunakan dasar pilihan itu adalah taqwa.
Contohnya puasa. Ada orang yang berpuasa kerana tiada makanan.
Namun bayangkan bila seseorang yang membuat pilihan untuk berpuasa ketika orang lain tidak berpuasa, atau memilih untuk berpuasa ketika makanan² enak tersaji di hadapan mata.
Mana yang lebih mencabar antara dua pilihan itu?
Itulah gambaran bagaimana Yusuf as ketika di Mesir. Ketika beliau mula dipuja oleh isteri Al- Aziz, bagaimana beliau mula digilai oleh wanita² Mesir. Yusuf digoda oleh mereka.
Cuba letakkan diri kita di tempat Nabi Yusuf. Mampukah kita? Ataupun kita akan memilih untuk duduk di zon selesa atau mengikut sahaja budaya cara hidup masyarakat Mesir?
Yusuf sendirian, tapi beliau punya pendirian.
"Hendaklah kamu setia dengan kebenaran walaupun kamu pasti sendirian dan peganglah ia walaupun dengan gigi geraham".
Maka, Yusuf berdoa. Doa yang kita perlukan di akhir zaman ini. Zaman di mana para lelaki dan wanita digilai oleh para 'followers' nya,
قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَٰهِلِينَ
'Wahai Tuhanku, aku lebih menyukai penjara daripada memenuhi ajakan wanita² itu semua. Jika Engkau tidak menghindarkan aku daripada tipu daya mereka nescaya aku cenderung untuk memenuhi keinginan mereka dan tentu aku termasuk dalam kalangan orang² yang jahil ataupun orang² yang tidak mampu menahan diri dan tidak mampu berfikir apa yang terbaik untuk dirinya'. |Yusof : 33
Kerana apa Yusuf berdoa sebegini?
Kerana beliau mengiktiraf kelemahan dirinya. Beliau menyebut, beliau tidak kuat. Beliau seorang manusia yang punya nafsu tetapi tidak punya kekuatan, namun beliau mengakui kelemahannya sebagai seorang manusia.
Allah Taala bila hambaNya bergantung sepenuhnya kepada kekuatan Allah dan bukan kepada kekuatan diri serta aqalnya, Allah akan membantunya menepis dengan kekuatan yang luar biasa.
Yusuf kembali pada Allah memohon kekuatan Allah. Al Hafiz Ibn Kathir menggambarkan doa Nabi Yusuf ini,
"Hanya kepadaMu wahai Allah aku memohon pertolongan dan hanya kepada Allah aku bertawakkal"
Inilah pilihan terbaik yang dilakukan oleh Yusuf as. Beliau meninggalkan ruang yang menjadi pujaan hati manusia dan kaum wanita.
Yusuf memilih penjara. Pilihan yang dibuat demi memelihara prinsip dan agama.
Semoga kita mengambil pengajaran daripada pilihan yang dibuat oleh Yusuf as.