Lebih kurang jam 3 petang, aku sudah berada di parkir motorsikal tidak berbayar bersebelahan Amcorp Mall. Aku tidak tahu samada parkir ini kepunyaan Amcorp Mall atau milik Yayasan Selangor. Tidak mengapa, memandangkan ia parkir percuma, maka kita nikmatilah tanpa banyak bicara.
Aku terus menapak memasuki AmCorp Mall dengan satu perasaan tidak sabar. Tidak sabar kerana aku tau di dalam ini ada pelbagai benda yang menjadi minat aku. Aku tidak tahu sudah berapa kali aku berada di sini, cuma yang pasti, hujung minggu aku akan dihabiskan di sini, setiap minggu.
Bila tiba di tingkat satu, aku sudah ternampak para peniaga yang menghidupkan flea market di sini. Ada bermacam barangan yang dijual di sini yang memungkinkan para pengunjung yang hadir juga terdiri daripada mereka yang punyai minat berlainan. Aku menghampiri satu kedai yang menjual pelbagai jenis action figure dan kereta kecil atau lebih terkenal digelar sebagai Hot Wheels. Action figure di sini terdiri daripada yang berharga puluhan ringgit hinggalah kepada yang berharga ratusan ringgit.
Aku memerhati akan barisan Batman yang cantik tersusun di dalam satu almari kaca separa besar. Hampir kesemua jenis Batman dimiliki oleh peniaga berbangsa Tionghua ini, tapi sayang Batman dari filem The Dark Knight Rises yang agak mengancam tidak kelihatan. Barang baik sudah selayaknya cepat disambar. Memandangkan tiada Batman yang menawan hati, aku beralih kepada Catwoman. Sayang, langsung tidak kelihatan. Mungkin peniaga ini merasakan tiada orang yang ingin membeli Catwoman. Aku hampa. Aku meninjau-ninjau lagi di dalam almari kaca ini, moga-moga bertemu dengan satu action figure yang boleh buat aku tersenyum.
Tiba-tiba, aku ternampak satu watak yang ada di dalam filem Batman The Dark Knight Rises. Bane. Ya aku nampak patung Bane, betul-betul berdiri belakang patung Zorro. Aku perati dengan lebih teliti akan patung Bane itu. Togel tanpa ada tanda harga terlekat di mana-mana bahagian badannya. Aku membuka mulut dan bertanya akan harga patung Bane tersebut.
RM35, jawab peniaga tersebut. Aku sedikit terkejut mendengar harganya. Pada hemat aku, untuk action figure yang boleh digerakkan pada beberapa anggota badan seperti yang aku lihat pada patung Bane ini, harganya pasti RM70 keatas. Memandangkan harganya yang agak murah, aku sudah set mahu membeli patung Bane ini. Aku memberanikan diri meminta peniaga tersebut menurunkan harga yang diletak oleh beliau. Aku mahu mendapatkan patung Bane ini dengan harga cuma RM35 cuma sahaja. Balance RM5 itu nanti boleh aku gunakan untuk mengisi petrol yang semakin kurang sesudah aku membonceng untuk ke mari.
Mungkin kerana harga yang aku minta itu tidak merugikan beliau, maka peniaga itu mengangguk sahaja sebagai tanda bersetuju dengan harga yang aku minta. Aku memberinya sekeping note berwarna hijau dan dia memberi satu keping note berwarna jingga beserta patung Bane yang selamat dibungkus di dalam plastik berwarna. Aku sengih sendirian. Aku dapat satu patung yang aku minati dengan harga yang agak berpatutan.
Aku meneruskan langkahku untuk melihat-lihat apa lagi yang boleh aku dapatkan daripada flea market ini. Jujurnya, aku berasa damai tiap kali aku ke sini. Segala apa yang berada di sini seolah-olah syurga kepada aku. Barangan yang terdapat di sini seolah membawa aku pulang ke zaman lampau, zaman di mana aku masih lagi seorang kanak-kanak yang ditatang oleh kedua-dua ibubapa. Ada yang mencebik dan ketawa sinis bila aku katakan aku ke sini untuk membeli patung-patung kegemaran atau action figure. Mereka gelar aku seperti budak-budak dan tidak dewasa seperti mereka. Aku bukanlah seorang budak-budak lagi cuma aku rindu zaman aku masih digelar seorang budak-budak.
Aku ni seorang yang agak sentimental dan aku mudah terkesan dengan apa-apa perkara yang pernah aku lalui. Lebih-lebih lagi, jika perkara yang berlaku itu sesuatu yang menyeronokkan, aku pasti akan ingat. Dulu pernah satu tahun, di mana aku hendak belajar berpuasa, emak aku menjanjikan sebuah patung Power Rangers yang boleh tahan besar jika aku berjaya puasa penuh pada tahun tersebut. Harganya lebih kurang RM30 kalau tidak silap aku, dan cuma ada satu patung sahaja lagi yang tinggal dengan kotak sudah koyak.
Selang dua tiga hari, aku pasti akan mengajak ayahku ke emporium tersebut untuk melihat patung Power Rangers itu masih ada atau tidak. Aku cukup risau jika patung itu dibeli oleh orang lain dan menjadikan segala penat lelah aku berpuasa tidak bermakna lagi. Mujur, patung itu tidak menarik perhatian pelanggan lain sehinggalah ke akhir ramadhan dan aku berjaya memiliki patung tersebut. Dan selepas dua tiga kali berpindah rumah, aku tidak tahu di mana patung itu berada sekarang atau sudah dilupuskan bersama-sama timbunan sampah.
Apa yang menjadi sentimental apabila aku terjumpa patung seperti itu di flea market ini. Ia terus mengingatkan aku kembali akan memori ketika aku masih bergelar seorang budak-budak. Aku cuba untuk membeli patung itu semula, dengan duit aku sendiri, tetapi malangnya patung itu simpanan peribadi seorang peniaga di sini dan tidak dibuka untuk jualan. Mungkin peniaga itu turut ada kisahnya yang tersendiri bersama patung tersebut. Siapa tahu bukan.
Dan semenjak, kejadian itu, aku tidak pernah gagal untuk datang ke flea market ini saban minggu. Aku tidak tahu berapa lama aku akan meneruskan rutin ini tetapi yang pasti, di sini aku berjaya menemui semula kenangan indah ketika aku bergelar seorang budak-budak yang sentiasa merengek meminta ibu dan ayahnya membelikannya permainan. Kini, aku sedang mengenggam patung Bane, dan mana tau, sebentar lagi aku berjaya menyambar patung bernama E-Honda pula. Sentimental.