BUTTERWORTH : Bagan Dalam adalah sebuah penempatan Melayu berdekatan muara Sungai Perai di sebelah selatan, manakala di sebelah utaranya pula adalah berhampiran dengan perairan Pulau Pinang yang berhadapan dengan Tanjong Penaga. Keluasan Bagan Dalam adalah kira-kira 3.5 kilometer persegi, manakala penduduknya pula dianggarkan seramai 4500 orang, berdasarkan statistik populasi yang dibuat dalam tahun 1996 hingga 1998. Bagan Dalam atau Kampung Bagan Dalam ini berada di bawah kawasan Parlimen Bagan (P43) yang diwakili oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB. Tuan Lim Guan Eng daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam (N9) pula diwakili oleh YB. Tuan Tanasekharan Autherapady yang juga daripada parti yang sama. Bagan Dalam juga merupakan suatu wilayah yang cukup sinonim dengan urusan perdagangan luar dan domestik khususnya bagi penduduk-penduduk di sekitar George Town, Seberang Perai dan di utara semenanjung. Lokasinya yang terletak begitu strategik berhampiran muara sungai dan laut itu dikatakan memudahkan kapal-kapal atau sampan-sampan dari luar berlabuh di jeti tambatan. Kawasan ini juga dahulu merupakan suatu tempat yang begitu sibuk dengan pelbagai urusan yang melibatkan perdagangan dan pengangkutan, malah ia juga merupakan suatu wilayah yang menjadi rebutan penjajah Inggeris yang ingin menjadikan sebahagian wilayah Bagan Dalam ini sebagai hub pelabuhan perdagangan utama yang menghubungkan George Town di sebelah pulau dan Butterworth di sebelah tanah daratan semenanjung. Rangkaian atau zon penempatan wilayah Bagan Dalam ini dikatakan sebanyak lima buah kampung di dalamnya seperti Kampung Perlis, Ujong Batu, Kampung Londeh, Kampung Musang dan Kampung Chain Ferry. Di samping itu zon khairah masjid Bagan Dalam adalah yang terbesar di Butterworth, di mana zon khairahnya meliputi jaringan sehingga ke Kampung Jawa, Balai Pukat, Kuarters STC dan juga kuarters di Jalan Heng Seng Whatt. Masjid Bagan Dalam juga dikatakan begitu aktif sebagai pusat ibadat dan kerohanian kepada penduduk setempat, selain itu terdapat juga beberapa buah surau dan sekolah yang terletak di dalam kampung yang digunakan sebagai pusat pendidikan Islam dan akademik. Kemahsyuran Bagan Dalam ketika itu dikatakan telah menarik minat mubaligh Kristian yang datang dari barat untuk menyebarkan dakyah agama mereka melalui pembukaan sekolah-sekolah yang berteraskan keagamaan seperti Butterworth Convent School (Primary & Secondary), Assumption School (Primary & Secondary) dan St. Mark Primary School dalam sekitar tahun 1850-an yang lalu. Menurut sejarah lama mengatakan, Bagan Dalam ini telah dibuka oleh dua orang pedagang dan pendakwah Islam yang bernama "Sheikh Akhil Bin Muhammad" dan "Sheikh Ghulam Bin Muhammad" yang berasal dari sebuah wilayah Fathan atau "Pactyans" berhampiran Arachosia di selatan Afghanistan yang bersempadan dengan sebelah barat Pakistan yang dikatakan telah membuka penempatan baru di Bagan Dalam sekitar tahun 1765 masihi. Sheikh Akhil dan Sheikh Ghulam yang berturunan Pashtun ini adalah bersaudara, mereka belayar menggunakan sebuah kapal kecil melalui lautan Hindi dan kemudiannya singgah di Batu Uban sebelum tiba di kawasan pesisir pantai Tanjong Penaga berdekatan muara Sungai Perai kira-kira 250 tahun yang lalu sebagai pedagang. Di samping menjual barang-barang dagangan, mereka juga dikatakan mengajar ilmu-ilmu fiqh kepada penduduk-penduduk setempat, sebelum mendirikan sebuah masjid. Sheikh Akhil kemudiannya berkahwin dengan penduduk tempatan dan mendapat lapan orang anak, Sheikh Akhil yang dilahirkan dalam tahun 1715 itu dikatakan mendarat di muara Sungai Perai ketika berusia 50 tahun, dan setelah 27 tahun berada di Bagan Dalam, Sheikh Akhil telah meninggal dunia dalam tahun 1792 ketika berusia 77 tahun, dan disemadikan di tepi sebuah rumah asal yang didirikannya. Pada ketika itu, adiknya Sheikh Ghulam yang datang bersama-sama abangnya tidak menetap lama di Bagan Dalam, sebaliknya berhijrah ke Kedah kerana ingin menjual barang-barang dagangan. Selain itu, Sheikh Akhil juga dikatakan terlibat dalam membantu tentera Sultan Kedah ketika diserang hendap oleh armada laut Francis Light dalam tahun 1791 di Kuala Perai. Sheikh Akhil yang berketurunan Pashtun ataupun Pakhtun ini sebenarnya mempunyai banyak lakaran sejarah mengenai kehidupan etnik Afghanistan yang berdarah campuran Parsi dan Arab dari wilayah Pathan itu. Mereka merupakan sebuah kumpulan etnik dari Timur Iran yang bertutur dalam bahasa Pashto. Keturunan ini biasanya mempunyai ciri-ciri yang mengamalkan kepercayaan Pashtunwali, yang juga merupakan suatu tradisi keturunan itu dalam membentuk semangat kepahlawanan untuk menentang musuh dalam peperangan. Semasa era Kesultanan Delhi, Dinasti Pashtun Lodi yang menggantikan pemerintah Turki di Utara India. Pashtun telah memperjuangkan Safavids dan Mughals sebelum mendapat kemerdekaan negara dalam abad ke-18, di mana bermulanya kejayaan revolusi yang dilancarkan oleh pemerintah Mirwais Hotak, dan diikuti selepas itu oleh penaklukan Ahmad Shah Durrani ke atas bumi Afghanistan pada suatu ketika dahulu. Dinasti Barakzai juga dikatakan memainkan peranan penting dalam percaturan politik yang bermula daripada abad ke-19 hinggalah ke abad ke-20, di mana mereka telah terperangkap di antara pembentukan imperialis daripada empayar British dan Rusia. Pashtun juga merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Afghanistan yang memerintah negara sebagai kumpulan etno-linguistik yang begitu dominan selama lebih 300 tahun. Mereka terdiri daripada majoriti kumpulan mujahidin ketika era perang Afghanistan dan rejim Soviet Union dalam tahun 1980-an, manakala pada zaman pemerintahan Taliban pula mereka terlibat dalam kancah peperangan Amerika dan Afghanistan dalam sekitar tahun 1990-an. Kekalahan Taliban yang dibantu oleh tentera-tentera bersekutu itu dikatakan menjadi sejarah hitam kepada terbentuknya sebuah kerajaan Afghanistan yang menjadi boneka kepada Amerika di bawah pimpinan Presiden Hamid Karzai yang juga berketurunan Pashtun. Inilah di antara bukti yang mengatakan mereka adalah suatu bangsa yang cekal dan berani untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sehubungan dengan itu, kehebatan kepahlawan keturunan yang berasal daripada Pathan ini juga dikatakan banyak diwarisi oleh anak-anak kelahiran Bagan Dalam, contohnya tokoh seperti Haji A. Bakar Bin Nor yang pernah menjawat jawatan tertinggi sebagai "Guru Muda" dan Ketua Jurulatih Kanan Malaysia sekitar tahun 1970 hingga 2009 dalam Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), manakala seorang lagi tokoh yang bernama YBhg. Dato Seri Ridzuan Bin Md. Zain adalah Presiden dalam International Shoto Shinkai Karate Federation yang berpusat di Jepun. Selain itu, dalam bidang sukan pula, seorang pegawai kanan Perhubungan Korporat Telekom Malaysia Berhad Encik Shaharudin Bin Abdul Manap juga dikatakan pernah beberapa kali menjuarai siri perlawanan berprestij di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dalam sukan sepaktakraw. Berbalik kepada cerita Bagan Dalam, generasi keturunan Sheikh Akhil dan Sheikh Ghulam yang berasal dari keturunan Pashtun ini dipercayai mempunyai kaitan salasilah keturunan dengan penduduk-penduduk yang dilahirkan di Bagan Dalam. Berdasarkan bukti wujudnya sebuah makam berusia lebih 250 tahun yang dikenali dengan nama “Makam Tok Sheikh" itu sebenarnya dapat mengesahkan bahawa Bagan Dalam ini adalah sebuah penempatan komuniti Islam yang telah lama bertapak di Seberang Perai sebelum Francis Light menjejakkan kakinya di Tanjong Penaga. Makam Tok Sheikh yang terletak 600 meter dari Masjid Bagan Dalam itu dapat kita lihat kesan-kesan batu nisan berukuran 1.2 meter x 0.6 meter yang dipercayai dipahat menggunakan tangan. Makam ini juga dipercayai wujud 26 tahun lebih awal daripada peristiwa perang "Musuh Bisik" yang dilancarkan oleh Baginda Sultan Kedah ke atas kedajalan Syarikat Hindia Timur pada tarikh 12 April 1791, jam 4.00 pagi yang berlaku di Kuala Perai, iaitu di kawasan belakang Sekolah Kebangsaan Kuala Perai kira-kira 225 tahun yang lalu. Ketika era sebelum kedatangan penjajah Inggeris di Tanjong Penaga, komuniti melayu Islam yang tinggal di wilayah Bagan Dalam hidup aman dan sejahtera sebagai nelayan di bumi sendiri. Perkara ini dapat dibuktikan dengan terdapatnya penempatan nelayan-nelayan di kawasan Ujung Batu, Balai Pukat dan Kampung Perlis. Sebelum pengangkutan darat Keretapi Tanah Melayu (KTM) dipindahkan dari Perai ke Bagan Dalam pada tahun 1964, kawasan di sebelah pantai baratnya adalah dipenuhi dengan pokok-pokok bakau yang tumbuh meliar di pesisir pantai. Kini kawasan pokok bakau itu telah dibangunkan sebuah pelabuhan yang dinamakan Dermaga Air Dalam Butterworth (BWDW) oleh Penang Port Commissioner (PPC) sebelum diambil alih oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) pada tarikh 1 Januari 1965. Pembinaan pelabuhan yang dikatakan mengambil masa selama lebih 5 tahun itu dibuat oleh sebuah syarikat pembinaan dari United Kingdom. Sebelum projek pembinaan jalan keretapi dan pelabuhan dijalankan, kawasan tapak pasar malam Bagan Dalam ini dahulunya terdapat deretan banglo milik penjajah Inggeris yang dibina berhampiran Sungai Semilang yang terletak di "Jalan Wood" yang berdekatan dengan laut. Kawasan berkenaan juga adalah berdekatan dengan tapak Sekolah Kebangsaan Kuala Perai, di mana Sungai Semilang dan kawasan pantainya seluas 0.5 kilometer persegi itu telah ditimbuskan bagi menutupi ruang laut semasa kerja-kerja pembinaan pelabuhan itu bermula kira-kira 51 tahun yang lalu. Kawasan di muara Sungai Perai dahulunya terdapat sebuah pekan lama dan jeti penambang yang dinamakan "Ujong Batu" yang terletak di wilayah selatan Bagan Dalam. Pada ketika itu di muara Sungai Perai berhampiran selekoh Jalan Assumption ke Sekolah Kuala Perai ini dikatakan mempunyai deretan kedai-kedai zaman pra-sejarah seperti kedai runcit, kedai kopi, pajak gadai, kedai kain dan sebagainya. Pekan lama ini dipercayai sezaman dengan jeti "tangga batu" yang menghubungkan Kota Kuala Muda di Kedah dan Permatang Bendahari di Seberang Perai. Tangga Batu di Permatang Bendahari itu dipercayai telah dibina pada tahun 1516 masihi oleh kerajaan Langkasuka yang berpusat di Kota Aur. Kota Aur pada ketika itu adalah pusat pentadbiran kerajaan Kedah Tua, di mana kawasan itu dikatakan menjadi bandar pelabuhan kedua selepas Lembah Bujang yang berpusat di Merbok, Kedah. Namun kesahihan usia sebenar pekan lama Ujung Batu itu sewajarnya diperincikan melalui kajian eskavasi oleh pakar-pakar arkeologi global, di mana tanah di kawasan tersebut perlu digali bagi mendapatkan sampel batu yang dipercayai telah tertanam hampir 50 meter ke dalam tanah. Berdasarkan fakta sejarah yang mengatakan Ujong Batu dahulunya terdapat struktur binaan pelantar batu yang berbentuk cerun yang dibina dari daratan ke dasar sungai itu adalah benar, kerana pada ketika itu perhubungan dua hala melalui pengangkutan air antara Ujong Batu dan Perai itu sebenarnya telah menjelaskan kepada kita bahawa kawasan ini secara logiknya adalah sebuah bandar pelabuhan yang begitu penting. Kepentingan perhubungan laut melalui sektor perdagangan domestik yang telah lama wujud di kawasan ini adalah menjadi faktor terpenting mengapa pihak penjajah Inggeris menjadikan kawasan di sebelah utara Bagan Dalam ini sebagai jeti ataupun pelabuhan utamanya, dan mengapa Mitchell Pier yang dibina dalam tahun 1870-an itu juga berdekatan dengan Bagan Dalam, kenapa ia tidak dibina di sebelah Perai, padahal stesen keretapi pada ketika itu berada di sebelah Perai. Begitu juga dengan jeti penambang di Ujong Batu yang dijadikan sebagai hub pengangkutan utama yang menghubungkan Bagan Dalam dan Perai, di mana pada ketika itu kawasan Taman Chai Leng dan kawasan perindustrian Perai dahulunya adalah sebuah estate milik Syarikat Hindia Timur yang berpengkalan di Kolkata ataupun Calcutta, India. Inilah bukti-bukti yang menjadi logiknya mengapa Bagan Dalam pernah menjadi sebuah tempat yang maju pada ketika itu..."