New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/15/pengasingan-sisa-di-punca-dilaksana-secara-mandatori-mulai-sept-2015/
Pengasingan sisa di Punca dilaksana secara mandatori mulai Sept 2015
KUALA LUMPUR, 15 November:
Pengasingan Sisa di Punca secara mandatori (separation at source) akan dilaksanakan mulai September 2015, demikian diumumkan Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.
Menurut menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, pelaksanaan peraturan baru itu adalah sebahagian usaha Kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa, yang ketika ini semakin meruncing.
“Peningkatan jumlah sisa secara mendadak menyebabkan tapak pelupusan sedia ada semakin kehabisan ruang,” kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, sempena Hari Kitar Semula yang diraikan pada Selasa, 11 November lalu.
Beliau menjelaskan, persaingan guna tanah bagi membina tapak pelupusan baru, menyebabkan kerajaan terpaksa memperkenalkan kaedah tambahan dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia.
“Aktiviti 3R dan pengasingan sisa di Punca telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.
“Pengasingan sisa di Punca akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru membantu menambah jangka hayat tapak pelupusan tersebut,” tegas Abdul Rahman.
Katanya lagi, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) telah merangka peraturan dan garis panduan untuk melaksanakan usaha ini dengan berkesan.
Pelaksanaan peraturan baru ini telah digubal menurut klausa perundangan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Secara umumnya, proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun,” Abdul Rahman menjelaskan.
Kutipan sisa yang diasingkan akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat konsesi yang dilantik berdasarkan konsep kutipan dua campur satu (2+1).
Menurut beliau, pelaksanaan kutipan 2+1 juga telahpun dijalankan sepenuhnya di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Kuantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah bermula September 2014.
Ke arah mendorong sokongan rakyat terhadap pelaksanaan peraturan ini, JPSPN akan melaksanakan kempen hebahan, program kesedaran dan pendidikan di seluruh negara.
Selain itu, kerajaan juga akan memastikan fasiliti pengurusan sisa pepejal ditambahbaik dan pengoperasian pusat-pusat 3R peringkat komuniti berjalan lancar untuk memastikan kejayaan inisiatif baru ini.
“Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah status negara maju menjelang 2020, Malaysia harus meningkatkan aktiviti 3R dan kadar kitar semula di peringkat kebangsaan.
“Melalui pelaksanaan hebahan kempen kesedaran dan `public education’ ini, kerajaan yakin boleh mencapai sasaran pencapaian kadar kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020,” kata Abdul Rahman.
Sambutan Hari Kitar semula di Malaysia tahun ini bertema “Kitar Semula Tanggungjawab Semua”.
Seiring dengan objektif menjadikan amalan kitar semula sebagai tabiat hidup, KPKT akan menjadikan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sebagai komponen utama dalam pengurusan sisa pepejal negara.
















