New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/12/kilang-ekstrak-minyak-daripada-tayar-terpakai-diarah-tutup/
Kilang ekstrak minyak daripada tayar terpakai diarah tutup
Kerajaan Negeri Perak memberi perhatian serius terhadap aduan aktiviti mengekstrak minyak daripada tayar terpakai menggunakan kaedah pirolisis sehingga menyebabkan pencemaran.
Susulan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), pada 28 Oktober lalu.
“PBT yang terlibat perlu mengambil tindakan ke arah penutupan sementara kilang-kilang berkenaan, memandangkan ia beroperasi tanpa lesen operasi PBT,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah bermesyuarat dengan persatuan pengusaha pirolisis dan mereka diberi tempoh tiga bulan sehingga 21 Februari 2015 untuk menaik taraf cara pemprosesan tayar terpakai.
Pengusaha bersetuju menutup kilang masing-masing, jika mereka tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, katanya.
“Usaha pemantauan dan penguatkuasaan tetap dijalankan, untuk memastikan mereka menepati janji,” katanya.
Mah berkata, kerajaan negeri amat menitikberatkan industri kitar semula, seperti tayar terpakai yang akan menghasilkan produk hiliran, namun pengusaha perlu memastikan setiap proses itu mematuhi standard ditetapkan agensi berkaitan, supaya tidak berlaku pencemaran alam sekitar.
Beliau berkata, pirolisis merupakan proses melibatkan ‘thermal degradation’ tanpa kehadiran gas oksigen, pada suhu 600 hingga 800 darjah selsius.
Tiada pembakaran terbuka ke atas tayar secara langsung dan minyak diperolehi dengan cara penyejukan (kondensasi) wap daripada proses itu, katanya.
Ketika menjawab soalan Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi) berhubung penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran tayar secara terbuka yang mengeluarkan bau busuk dan bertoksin di Jalan Bendahara, Mah berkata, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara lebih agresif.
“Tugas penguatkuasaan akan melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI), tanpa mengira waktu, berikutan aktiviti itu dikesan berlaku pada waktu senja serta tengah malam,” katanya.