New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/buzz/2015/02/19/datuk-siti-kurang-senang-disenarai-tiga-wanita-terkaya-di-malaysia/
Datuk Siti kurang senang disenarai tiga wanita terkaya di Malaysia
KUALA LUMPUR, 19 Februari:
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terkejut apabila mengetahui namanya tersenarai sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia.
Menerusi laporan akhbar Utusan Malaysia, penilaian jumlah kekayaannya sebanyak RM50 juta seperti yang dilaporkan sebuah portal itu tidak begitu tepat dan dia secara peribadi, kurang senang dengan berita berkenaan yang sudah menjadi viral di laman sosial.
Menurut Siti, dia ada membaca berita itu dan agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan namun, isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan kepadanya selama ini.
Portal savemoney.my sebelum ini melaporkan lima wanita terkaya di Malaysia dan turut menyenaraikan nama Datuk Siti Nurhaliza, 35, di kedudukan ketiga dengan anggaran aset kekayaan mencecah RM50 juta pada 2013.
Kedudukan pertama dalam senarai portal itu ialah pewaris pengasas Genting Highlands, Puan Sri Lee Kim Hua dengan aset berjumlah RM21.32 bilion, disusuli pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh (RM875 juta).
Dua lagi personaliti wanita Malaysia yang turut disenaraikan ialah bekas Ratu Cantik Malaysia 1969, Pauline Chai dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.
Datuk Siti Nurhaliza, yang juga pengasas produk kecantikan jenama SimplySiti menegaskan kepada akhbar Utusan Malaysia, dia masih lagi bekerja keras dalam bidang seni selain memberi tumpuan serius terhadap cabang perniagaan lain.
“Saya tidak begitu senang dengan jumlah yang dinyatakan, kerana saya masih bekerja keras dalam bidang seni dan perniagaan dan tidak begitu tepat untuk membuat penilaian berdasarkan jumlah yang dinyatakan,” katanya.