Amanah dan Tanggungjawab lelaki ini adalah besar. Didalam Al-Quran Allah سبحانه وتعالى berfirman;
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan bebatuan. Di dalamnya ada malaikat yang kasar lagi bengis yang tidak mengingkari terhadap apa yang diperintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
“Bukan syurga itu untuk kamu sendiri-sendiri. Kamu yakni lelaki akan dipertanggungjawabkan oleh Allah سبحانه وتعالى di akhirat ke atas isteri, anak-anak, dan adik beradik kamu, khususnya kaum perempuan. Membimbing mereka ke syurga. Lelaki itu bertanggungjawab ke atas perempuan dengan kelebihan yang Allah سبحانه وتعالى berikan.”
“Bukan hanya oleh suami kepada isterinya, oleh anak lelaki kepada ibunya, bahkan juga oleh saudara lelaki kepada saudara perempuannya. Iaitu membimbing adik ataupun kakaknya, tiga perkara yang pertama, Pendidikan. Yang kedua Nafkah. Dan yang ketiga, Pemeliharaan. Itu adalah amanah daripada Allah سبحانه وتعالى.”
“Lelaki yang menerima perempuan sebagai isterinya, bermakna dia telah menerima amanah daripada Allah dan dia bertanggungjawab kepada Allah ﺳﺒﺤﺎﻧﻪﻭﺗﻌﺎﻟﻰ, bukan hanya di dalam memberi nafkah makan dan minum ataupun
nafkah batin, tetapi nafkah tarbiyah.”
“Nafkah tarbiyah yakni pendidikan untuk menjadikan seorang wanita solehah, isteri yang solehah. Dan jangan hanya mampu memberikan nafkah untuk dia melakukan apa saja daripada kenikmatan keduniaan tanpa di perhatikan solatnya atau hijabnya, tanpa diperhatikan siapa dia bergaul, dengan siapa. Dengan keluarnya, dengan siapa dia makan dan minum. Sebaik-baik wanita itu adalah yang tidak dikenali.”
“Rasulullah ﷺ tidak suka memperkenalkan isterinya kepada orang lain kecuali jika ada orang yang bertanya kepada baginda rasulullah ﷺ. Di zaman kita sekarang, dihebohkan dan upload di Facebook dan sebagainya. Nak tunjuk lah. Bilamana seseorang itu berkahwin, pasangan suami isteri itu akan menjadi satu dalam segala halnya. Termasuk kebahagiaan dan juga kesusahannya, bukan hanya di Dunia tetapi juga di Akhirat.”
“Dan Allah سبحانه وتعالى mewasiatkan kamu tentang anak anak kamu. Didiklah, berilah hak tarbiyah buatnya. Kamu hendaklah ambil berat amanah dari Allah سبحانه وتعالى. Kerana segalanya akan ditanya oleh Allah. Jadikan kita disayangi oleh Allah سبحانه وتعالى, kerana anak anak kita yang soleh. Dan kita diberi darjat dan kelebihan oleh Allah kerana anak anak kita yang soleh.”
“Antara hal yang menjejaskan moral perangai, karektor rosak, punca yang merosakkan agama anak itu adalah Kemiskinan. Yang kedua adalah, Pertengkaran orang tua di hadapan anak. Yang ketiga, adalah Perceraian. Yang keempat, adalah Masa kosong anak yang tak dipenuhi dengan pengisian atau hal yang bermanfaat. Penuhilah masa anak-anak kita dengan perkara perkara sunnah seperti bersukan, memanah, berenang dan lain lain.”
“Elakkan pergaulan dengan teman teman yang tidak baik dan tidak dipantau orang tuanya. Seseorang itu menyerupai akhlak temannya, maka pilihlah dengan siapa dia berteman. Dalam masa empat puluh hari sahaja, merek akan menular terikut perangai kawannya. Hati hati kamu dengan teman yang tidak baik, kerana kamu akan dikenali identiti kamu dengan siapa kamu berteman.”
“Perangai yang tidak baik itu, ada di setiap zaman, cuma orangnya saja berbeza. Nasihati anak, beritahu kenapa perlu pilih kawan yang baik, ajak anak terima dengan rasional. Terangkan kepadanya. Dan juga Pantau, kenali kawan kawan anak, agar terjamin akhlak anak kita supaya tidak terjejas. Buruknya sikap orang tua kepada anak, akan menyakiti anak. Jika disakiti orang itu lukanya biasa.”
“Akan tetapi, disakiti orang yang disayangi itu lukanya adalah luar biasa. Dan cara atau sikap orang tua menghina, memaki, menjatuhkan air muka anak, lebih lebih lagi di hadapan orang, dan lebih teruk lagi menghalau, akan memberi kesan besar kepada anak, pecah hati dan patahnya semangat anak ketika membesar.”
“Sesungguhnya Allah سبحانه وتعال menyuruh kamu bersikap adil, ihsan kepada ahli kamu. Hendaklah orang tua menjaga sikap ketika marah, menegur anak. Allah سبحانه وتعال memuji orang yang menahan marah, lebih lebih lagi kepada ahlinya yakni anaknya. Berkata baik kepada manusia, lebih tampilkan lemah lembut dan kata kata baik kepada ahlinya.”
“Semoga Allah سبحانه وتعالى merahmati orang tua yang membantu anaknya untuk berbakti kepada orang tuanya. Ramai orang tua tidak pantau program apa yang ditonton anak, apa yang dibaca, apa yang dikata. Orang tua mengabaikan pendidikan anak kerana kesibukan, terutama ibu, lebih sangat bahaya apabila tak menunaikan tanggungjawabnya.”
“Ibu itu madrasah pertama yang menentukan batu asas, kukuhnya bangunan, tinggi rendahnya, kental lemahnya peribadi dan akhlak anak. Ibu mendidik anak tanpa ayah tak sama dengan ayah mendidik anak tanpa ibu, menunjukkan betapa besarnya peranan ibu.”
“Contohilah dan baca bagaimana hebatnya Ibu Imam As-Syafie dan Ibu Sheikh Abdul Kadir Al-Jailani anak terkesan dengan ibadah ibunya, visi ibunya. Rasulullah ﷺ, Ajarkan kepada kita. Ajarkan anak kamu tiga perkara. Yang pertama, Cinta kepada Rasulullah ﷺ. Yang kedua, Cinta akan ahli keluarga Baginda Rasulullah ﷺ. Dan yang ketiga, Ajarkan anak kamu Al-Quran.”
Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid