Ahad | 2 Januari 2022 | Sungai Udang, Melaka “Antara nikmat di dalam syurga ialah pertemanan (al-ṣuḥbah). Ahli syurga tak hidup seorang-seorang. Mereka mesti ada teman. Oleh sebab itu, di dunia ini, jangan hidup seorang-seorang.” Demikianlah antara bait kalam Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail ḥafiẓahuLlāh yang sangat kuat menembusi relung hati kami saat menutupi sesi taujihat beliau pada petang itu. Hal tersebut memberi kami suatu isyarat dan kesimpulan yang begitu kukuh; betapa kami perlu bersungguh-sungguh hidup dalam kesatuan jemaah dan memperbanyak pergaulan bersama orang-orang yang soleh. 〰️ Kalau dahulu, ketika masih bergelar pelajar, apabila memohon nasihat daripada Tuan Guru, pasti soalan kami akan berkisarkan dunia kemahasiswaan, dakwah di kampus, dan sewaktu dengannya. Namun kini, saat roda kehidupan meneruskan putarannya, tumpuan lebih terarah kepada alam kerjaya dan keluarga pula. Sebut Tuan Guru, jadikan pekerjaan kita sebagai alat untuk mengukuhkan perjuangan. Saat memiliki atau bertambah kemahiran, sumbangkan kemahiran yang kita ada untuk kemajuan perjuangan. Saat memperoleh pendapatan pula, infakkan sebahagian daripada pendapatan tersebut untuk kelangsungan perjuangan. Hal ini demikian kerana, kecintaan kepada Allah ﷻ, Rasulullah ﷺ, dan perjuangan Islam merupakan jalan ketaatan (ṭarīq al-ṭā‘ah) kepada-Nya. Tingkatkan setiap kecintaan itu dengan benar-benar ikhlas dan itqan dalam setiap kerja buat kita. Kata Tuan Guru lagi, tiada istilah pertembungan antara keluarga, kerjaya, dengan jemaah. Seandainya kita benar-benar melihat dan memahami keutamaan (awlawiyyāt), ketiga-tiga aspek tersebut boleh saja diwujudkan keseimbangan (equilibrium). Apa guna berjuang Islam, tetapi ahli keluarga terabai daripada nafkah dan dakwah? Apa guna sibuk bekerja, tetapi tiada masa pula untuk jemaah? Begitulah sebahagian misal yang diuntaikan untuk kami senantiasa beringat. 〰️ Mudah-mudahan, Allah selalu mengurniai kita istiqamah dalam jalan ketaatan. Sungguh, nikmat istiqamah itu adalah sebaik-baik karāmah yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Alhamdulillah, permulaan 2022 yang penuh hikmah. 🥰🤲 #BaytHamim #ZiarahUlama (Pondok Baitul Qurro' Wal Fuqoha') https://www.instagram.com/p/CYeXrgkDZPF/?utm_medium=tumblr














