“𝗔𝗣𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗣𝗘𝗡𝗧𝗜𝗡𝗚, 𝗜𝗦𝗧𝗜𝗤𝗔𝗠𝗔𝗛!” Rabu | 12 Januari 2022 | Wilayah Persekutuan Putrajaya Sudah lebih setahun pertemuan ini berlangsung. Namun, baru kali ini saya berkesempatan untuk mencoretkannya secara maya setelah lama terperam dalam buku catatan peribadi. Alhamdulillah, rezeki buat sekalian ahli khidmah Yayasan Permata Ummah dan Pustaka Permata Ummah, Allah mengurniai kami kesempatan untuk sekali lagi bersua wajah dengan Ayah Chik yang dikasihi buat mengutip bekalan hikmah. Bagai menjadi suatu kewajipan, Tuan Guru Haji @abdulhadi_awang (Ayah Chik) ḥafiẓahuLlāh pasti akan memulakan apa-apa jua pengisian dengan melafazkan kalam Allah ﷻ, kali ini daripada ayat ke-109 Surah al-Baqarah. Ayat itu menegaskan bahawa Islam tidak mampu dicabar oleh mana-mana agama mahupun ideologi, walaupun umat Islam dihimpit dari pelbagai sudut. Kita selaku umat Islam perlu sedar bahawa Islam yang kita anuti ini bukan sekadar untuk diri manusia sahaja, bahkan Islam juga perlu dipraktikkan sebagai sistem bernegara. Sebabnya, para pendengki Islam sejak dahulu sehingga kini – termasuk golongan penjajah – mereka sedaya mungkin mahu membentuk kepimpinan satu-satu negara yang ditakluki mestilah menurut ramuan mereka sahaja. Tidak kisah sama ada acuan itu terdiri daripada mana-mana blok sekularisme sekalipun (blok kanan seperti kapitalisme dan liberalisme atau blok kiri seperti sosialisme dan komunisme), paling penting ialah ABI (asalkan bukan Islam). Para pembenci Islam tidak berapa kisah dengan Muslim yang sekadar beramal dalam tatacara keagamaan semata-mata, tetapi mereka sangat-sangat kisah dan tidak boleh duduk diam sekiranya Islam menjadi suatu tatanegara. Oleh sebab itulah, golongan ABI pasti akan berbuat apa-apa sahaja cara bagi menyekat sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada kebangkitan semula Islam. Akan tetapi, sebagaimana janji Allah ﷻ dalam ayat al-Quran tadi, sinar Islam sekali-kali tidak akan berjaya dihapuskan, malah cahayanya terang-benderang pula menembusi seluruh pelosok buana. Paling penting, tugas kita hanya perlu kekal menjalankan peranan selaku HAMBA, KHALIFAH, dan PEMEGANG AMANAH secara ISTIQAMAH. Jalan terus! https://www.instagram.com/p/CnuAH_iP0TA/?igshid=NGJjMDIxMWI=


















