New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/09/17/mjmm-dakwa-aziz-bari-hina-sultan/
MJMM dakwa Aziz Bari hina sultan
PETALING JAYA, 17 September:
Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan beberapa badan bukan kerajaan membuat laporan polis hari ini berhubung kenyataan pakar undang-undang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang didakwa menghina sistem beraja Malaysia.
Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata pada 9 September lalu, dia terbaca sebuah artikel berbahasa Inggeris yang bertajuk “Only God, not Sultan, has absolute power, says legal” dan artikel berbahasa Melayu, bertajuk “Sultan Selangor terikat Deklarasi 1992, perlu lantik Wan Azizah, kata Aziz Bari”.
“Saya mendapati kedua-dua artikel tersebut menghina Sultan Selangor dengan mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.
“Ia juga mempunyai sifat menghasut yang boleh mendatangkan kebencian kepada Sultan Selangor,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Petaling Jaya.
Menurutnya, kenyataan itu juga merupakan satu penghinaan kepada institusi Raja-Raja Melayu dan boleh menjatuhkan kredibiliti Sultan Selangor.
“Dengan tersiarnya artikel dan kenyataan sebegini, saya merasakan ia boleh mewujudkan suasana yang tidak tenteram dan seterusnya membenci institusi beraja.
“Saya tidak faham mengapa Aziz Bari mengeluarkan kenyataan sedemikian. Belum memegang tampuk pemerintahan negara, pembangkang sudah berani menghina institusi beraja, saya tidak tahu apa akan jadi sekiranya pembangkang berjaya menawan Putrajaya,” katanya.
Abdul Rani berkata, dia mengambil masa selama seminggu sebelum membuat laporan polis kerana mahu memastikan kesahihan artikel berkenaan.
“Saya berharap pihak berwajib mengenakan tindakan sewajarnya kepada Aziz Bari kerana kenyataannya itu sangat keterlaluan dan juga sebagai pengajaran kepada orang lain.
“Kita jangan sewenang-wenangnya mempersoalkan sistem beraja kerana ia sudah termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia,” katanya.