Pemikir kulit hitam Amerika Cornel West pernah berhujah tentang tiga hadiah yang dikurniakan oleh golongan kulit hitam di Amerika dan seluruh umat manusia dalam pencarian kebebasan dan keperibadian. Diilhamkan oleh karya W.E.B Du Bois The Gift of Black Folk, hadiah-hadiah ini ternyatalah amat berharga, terutama di zaman terorisme pasca-11 September, di mana warga Amerika berasa terancam dan dibenci hanya disebabkan identiti mereka sebagai warga Amerika. Di sini, saya hanya ingin menumpukan pada hadiah yang pertama, dikenali sebagai “philosophic Socratic questioning and interrogation”. Inspirasi hadiah ini diraih dari ahli falsafah terulung Socrates yang amat dikenali dengan kekata hikmahnya bahawa “the unexamined life is not worth living”. Ini juga pernah disahuti oleh Malcolm X yang mengatakan bahawa kehidupan yang diperiksa itu sememangnya menyakitkan (the examined life is painful).
Nah, di sinilah terletak peri pentingnya fikiran yang kritis, yang langsung memerlukan keberanian untuk mempersoalkan aspek-aspek asas dalam kehidupan. Menurut West, dalam pencarian kebebasan dan keperibadian, keberanian untuk berfikiran secara kritis tentang diri, masyarakat dan dunia ini, walau hebat bagaimanapun cabarannya, semestinya diutamakan.
Keupayaan untuk berfikiran kritis memerlukan keberanian kerana ia memaksa kita untuk sentiasa berdepan dengan kemanusiaan dan mortalitas kita. Dan ternyatalah ini amat menyakitkan. Menurutnya lagi, keberanian sebegini berakar dari nilai kemanusiaan dan sikap merendah diri. Perkataan “human” yang berasal dari perkataan “humus”, iaitu salah satu bahan penting untuk menyuburkan tanah. Dari perkataan ini, beliau menjelaskan bahawa untuk menjadi human atau manusia adalah juga untuk merendahkan diri kepada bumi, di mana juga kita akan kembali. Justeru keberanian ini sememangnya berpunca dari sikap merendahkan diri, sikap yang memanusiakan kita, dan yang semakin mendekatkan kita kepada tempat asal dan tujuan akhir kita.
Justeru dalam edisi kali ini, kami ingin menekankan kepentingan budaya pemikiran kritis, yang bertujuan untuk melawan rasa takut terhadap persoalan dan kekeliruan. Dan ini ternyatalah tujuan karangan-karangan kami di sini, iaitu untuk mempersoalkan sesetengah isu yang dihadapi masyarakat. Ini pada dasarnya ditimbulkan oleh keinginan untuk mempersoalkan rasa takut akan persoalan. Masalah rasa takut terhadap idea-idea yang baru telah dilanjutkan lagi dalam artikel yang pertama dalam edisi ini, Mentakuti Ketakutan. Sesungguhnya rasa takut pada pembaharuan dan perbezaan idea berpunca dari ketidakamanan atau kegelisahan tentang persoalan-persoalan eksistensi – misalnya posisi agama dalam arus kehidupan yang pesat berubah. Ternyatalah ini disuarakan oleh golongan yang berteriak bahawa agama mempunyai penyelesaian buat segala masalah kehidupan moden, atau bahawa kritikan terhadap masyarakat atau agama seharusnya ditolak kerana ia teramat sensitif dan mampu “mengelirukan” umat.
Rangkaian karya yang seterusnya mempersoalkan konstruksi ilmu dan gagasan dalam masyarakat. Semangat kritis sebegini jelas terpapar dalam karya-karya tersebut yang semuanya dikarang dalam bahasa Inggeris. Dalam dua buah karya yang berkaitan dengan isu sejarah dan sastera, kedua-dua Syafiqah J dan Saksi Mata mengangkat peranan penting sastera sebagai rakaman,
renungan dan juga sanggahan terhadap sejarah-sejarah rasmi. Sastera berupa ruang alternatif untuk menyampaikan suara-suara yang dibisukan oleh pengarang karya rasmi. Sastera juga mampu mengisi kekosongan dalam penyampaian sejarah kepada masyarakat dan mempersoalkan cara pemikiran kita terhadap status dan peranan sejarah itu sendiri.
Seterusnya, ideologi-ideologi dalam masyarakat berkenaan dengan hal-hal kekeluargaan dan keagamaan dipersoalkan oleh Cempaka serta Sakinah dan Zhi Wei. Karangan Preserving the Normal, Policing the Dysfunctional mengkritik konstruksi “keluarga pincang” yang seringkali dipaparkan dalam media Melayu sebenarnya menggambarkan ideologi kekeluargaan yang lebih meluas di Singapura. Penaklukan minda oleh ideologi sedemikian bukan hanya membutakan mata dan hati kita dari cabaran-cabaran dalam kehidupan kekeluargaan, tetapi juga mendorong kita untuk menghukumi mereka yang tidak sealiran. Ini malah membebankan mereka yang tidak berupaya untuk keluar dari linkungan “kepincangan” itu dan justeru tidak memulihkan keadaan mereka. Selagi keluarga-keluarga sedemikian dianggap sebagai masalah yang harus diselesaikan, selagi itulah masalah-masalah mereka akan berlarutan.
Sehubungan dengan artikel dalam edisi pertama tentang kepentingan berdialog, karangan Conversion and Inversion: A Dialogue berupa sejenis dialog antara Sakinah, seorang gadis beragama Islam dan teman lelakinya Zhi Wei, yang baru memeluk agama Islam. Luahan dan persoalan mereka tentang isu-isu yang berkaitan dengan penerimaan, pendidikan dan penghidupan agama dalam masyarakat amat penting bagi renungan kita bersama. Ini seringkali dilupakan oleh umat Islam yang berlonjak gembira sewaktu menerima “saudara baru”, tetapi tanpa mengirakan kesukaran-kesukaran mereka, serta tuntutan-tuntutan dan tekanan dari masyarakat di keliling mereka. Dialog dan persoalan mereka antara satu sama lain juga berupa ajakan terhadap dialog dengan masyarakat Muslim secara umum. Budaya dialog memerlukan pemikiran kritis; ketiadaan fikiran kritis dan terbuka hanya akan mengakibatkan perdebatan yang berhasratkan kemenangan.
Juga seiringan dengan edisi pertama yang mengangkat idealisme dan semangat kritis golongan muda, saya teringat akan puisi Usman Awang yang mengajak kita kepada sikap kurang ajar. Menurutnya,
“…Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.
Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.”
Di sini, apa yang dimaksudnya sebagai “kurang ajar” bukanlah sikap biadab semata-mata. Tetapi, sikap “kurang ajar” menunjukkan keberanian untuk melawan arus yang menyekat, mengongkong dan memperlekehkan suara-suara individu.
Pada masa yang sama, suara yang kritis tidak semestinya bernada kasar atau mungkin tersembunyi di sebalik wacana akademik. Kekasaran semangat kritis juga dapat diperhalusi oleh nilai-nilai estetis, seperti karya-karya berunsur kesusasteraan oleh Syafiqah dan Elyna Kenisa. Pada dasarnya, karya-karya mereka menonjolkan keberanian untuk berdepan dengan perkara-perkara yang membelenggu jiwa dan perasaan, malah meluahkan mereka di khalayak awam. Keberanian juga dilihat pada penyuaraan sesuatu yang sudah ada dalam fikiran orang ramai, namun yang kurang diketengahkan. Puisi Di Tepi Katil Tuhan menyanggah keras golongan yang menggunakan agama untuk mengangkat agenda-agenda kekuasaan, sehinggakan Tuhan yang mereka kononnya sembah itu “dibunuh” oleh kegilaan kuasa mereka sendiri. Agama itu digunakan untuk mentuhani diri dan bukan untuk pemihakan dengan mereka yang lemah dan tertindas, yang sememangnya menjadi tanggungjawab manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan.
Karya Sketsa Cinta membayangkan keberanian untuk bercinta serta merenung dan meluahkannya, meskipun ia mampu mendorong kita ke arah kedinginan dan keperitan. Kesungguhan dalam bercinta mengapikan keberanian untuk terus hidup dengan kesedihan, malah merangkulznya sebagai sumber nilai-nilai manusiawi seperti ketulusan dan kasih sayang. Penderitaan menjadi keindahan kerana dari itulah lahirnya cinta yang luhur, seperti lahirnya karya-karya bernas dalam saat-saat kesempitan dan putus asa. Malah cinta itu sendiri mengilhamkan kebernasan tersebut. Keperitan dalam percintaan juga mencerminkan keberanian untuk hidup dan mati. Ini sesungguhnya memperkukuhkan kemanusiaan kita. Cinta yang luhur bukan mematikan, tetapi semakin menghidupkan dan membebaskan kita. Namun pada masa yang sama, sekiranya dalam kematian itu kita temui keabadian dan kebebasan, cinta yang luhur itu bukan hanya buat seumur hidup, tetapi sememangnya menemani kita ke mati. Justeru keinginan untuk mati bukanlah tanda menyerah kalah, tetapi hanya keinginan untuk mengabadikan cinta tersebut.
Tema-tema yang berkenaan dengan keberanian, daya untuk mempersoal dan mengekspresi diri untuk melawan unsur-unsur dehumanisasi dalam masyarakat lantas menjadi tumpuan kami kali ini. Mungkin apa yang mendasari ini semua berupa cinta yang merangkumi setiap aspek kehidupan.
Ungkapan kata oleh pemikir revolusi Iran, Ali Shariati, akan menutupi edisi kali ini sebagai bahan renungan yang sesuai:
"After a logical stage, the fourth stage is to sacrifice oneself. At this point man enters the stage of “Ithar”; (where) man chooses someone else over himself; namely, a man sacrifices himself for others. It is obvious that from among the two deaths – another person’s and his own – he has chosen his own death… It is a love which, beyond rationality and logic, invites us to negate and rebel against ourselves in order to work towards a goal or for the sake of others. It is in this stage that a free man is born, and this is the most exalting level of becoming an Ensan.”
Kita mentakuti banyak perkara: kekeliruan, persoalan, kesilapan, pembaharuan, perbezaan, dan yang paling ketara sekali, kita takut pada diri kita sendiri. Kita takut menghadapi kelemahan dan kematian kita sendiri. Pada masa yang sama, kerana kita takut menghadapi kelemahan kita yang sememangnya hanya memanusiakan kita, kita juga takut merealisasikan potensi kemanusiaan kita. Oleh itu, kita menolak kemanusiaan kita sendiri, sesuatu yang agak jelas hilang dari wacana dominan tentang agama Islam, tentang umat Islam, dan oleh umat Islam sendiri. Wacana dominan yang taksub pada pembacaan literalis dan formalistik justeru tidak prihatin terhadap suara manusia yang beragam. Dari itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk mengutamakan suara manusia dalam wacana keislaman hari ini.
Umat Islam hari ini juga sangat takut akan kekeliruan. Ada yang bertanggapan bahawa umat Islam hari ini mudah sangat terkeliru atau terpesong keimanan mereka, sehinggakan jiwa dan raga mereka seharusnya dilindung dan diselimuti bak bayi yang baru lahir. Ada yang memandang kekalutan itu sebagai sesuatu yang seharusnya diatasi atau sebaik-baiknya dihindari. Ada pula yang menuduh lawanan mereka sebagai “keliru” hanya kerana mereka tidak sealiran, tidak menyetujui, malah mungkin mempersoalkan pendirian mereka itu. Mungkin bagi mereka, mereka sahajalah yang telah mencapai puncak kebenaran dan pencerahan jiwa, justeru yang lain-lainnya masih dihanyuti kekeliruan masing-masing. Namun, pada masa yang sama, mungkin juga kita sendiri keliru dengan fungsi atau maksud di sebalik kekeliruan itu. Ini kerana ada juga yang menyatakan bahawa kekeliruan itu amat penting sebagai tapak permulaan untuk mencapai hikmah dan kebenaran.
Dalam pemerhatian saya, manusia biasanya juga tidak begitu menyukakan kekeliruan. Kekeliruan itu meresahkan, mendatangkan pelbagai perasaan yang kurang menyenangkan dalam jiwa, yang lebih baik dilenyapkan secepat mungkin. Tiada siapa, dalam pemerhatian saya, yang ingin terkapai-kapai dalam lautan
dalam lautan kekalutannya sendiri. Kekalutan itu menggerunkan kerana ia melemahkan kita. Ia mematikan daya kawalan kita dan justeru kita berasa seolah-olah hilang arah tujuan. Kita takut akan perkara yang kita tidak ketahui, dan cuba meyakinkan diri kita bahawa kita tahu, tapi sebenarnya takut dengan diri kita sendiri. Kita mendambakan kepastian, kestabilan dan yang paling penting, kekuasaan. Kita mahu merasakan bahawa apa yang kita lakukan mahupun percayai itu adalah tepat dan benar. Justeru, kita lebih suka melakukan dan menturuti apa yang dianggap tepat meskipun kita kurang memahami atau mempercayai perkara itu. Kita suka pada jaminan pahala dan dosa, syurga dan neraka, kerana ia memenuhi dambaan untuk kepastian itu. Saya seringkali terfikir, sekiranya bila kita mati dan bertemu dengan Tuhan, Dia mengatakan bahawa syurga dan neraka ini sebenarnya tidak ada, adakah kita akan menyesali segala usaha gigih kita dalam beribadah sewaktu di dunia?
Justeru, kita bergantung pada sentimen-sentimen apologetik dan defensif. Kita juga seringkali mewar-warkan agama secara triumphalist dan mengharapkan agar orang ramai menghormati sensitiviti kita yang tak berkesudahan. Seperti anak-anak manja, kita mahukan agar sensitiviti kita dijaga, tetapi tanpa dipertanggungjawabkan atas tindakan prejudis kita terhadap orang-orang yang berbeza dari kita. Apa yang ingin ditekankan ialah bukan untuk menghina diri, tetapi untuk memupuk semangat kritis yang sihat terhadap pelbagai aspek kehidupan, termasuk apa yang kita anggap sebagai yang paling suci.
Mewujudkan ruang bagi harapan dan idealisme untuk berkembang
Penawar rasa takut merupakan suntikan keberanian dan harapan. Walau bagaimanapun, percakapan semata-mata tentang keberanian atau harapan tidak berguna. Kata-kata tersebut, tanpa usaha gigih untuk mencapai transformasi, walau sekecil mana pun, hanya berupa usaha yang mandul semata-mata. Mereka tidak membangkitkan apa-apa tindakan sebenar. Apa yang kita perlukan adalah untuk mewujudkan ruang untuk menyemai benih harapan. Salah satu cara ialah untuk melebarkan ruang bagi penumbuhan idea-idea baru.
Keberanian ini, walau bagaimanapun, perlu dipupuk dan dibenarkan untuk berkembang. Kepimpinan perlu mewujudkan keberanian untuk mengangkat idea-idea baru untuk dan untuk melengkapi generasi muda dengan alat-alat dan tekad untuk untuk berfikir dan bertindak. Tugas ini bukan sahaja untuk golongan atau individu elit tertentu, tetapi ia sememangnya gabungan hati dan minda orang-orang biasa yang mempunyai visi moral dan keberanian untuk berharap. Berkaitan dengan keadaan semasa umat Islam, terdapat keperluan mendesak untuk juga memikirkan semula idea harapan itu sendiri. Harapan bukan sajalah berupa keselamatan di akhirat, kesenangan dek perjanjian pahala sewaktu di dunia, mahupun pengembalian kepada zaman kegemilangan yang sudah luput ditelan masa.
Kita perlukan harapan agar dapat berkembang maju dan ia tidak sepatutnya hanya berfungsi sebagai ubat penawar untuk menenangkan hati kita. Saya memerhatikan satu trend yang semakin meningkat, iaitu golongan penceramah motivasi Islam yang menyebarkan mesej-mesej pembangunan diri dengan menggunakan terminologi-terminologi Islami. Penceramah-penceramah sebegini amat popular di media sosial dan mereka sering memberi ceramah di auditorium sesak. Populariti mereka mencerminkan ketandusan dalam wacana keagamaan, terutama bagi golongan muda. Tidak dinafikan bahawa mereka telah berkhidmat dengan baik, tetapi saya berfikir bahawa ini boleh membantutkan pembangunan visi moral dan intelektual umat Islam kerana masih kurang nada kritisnya. Saya sendiri pernah mendengar ceramah-ceramah sedemikian yang sememangnya masih tidak mempersoalkan paradigma dan gagasan keagamaan yang bermasalah.
Apa yang perlu kita fahamkan adalah bahawa harapan itu seharusnya mendorong kita untuk menghadapi masalah, dan bukan sahaja untuk menyedapkan hati kita. Harapan meyakinkan kita bahawa kita mampu menghadapi rasa malu, takut dan keliru, walau sukar bagaimanapun. Dan ini tidak berkaitan dengan ganjaran Tuhan, kerana ia bukan tanggungjawab kita untuk dirisaukan. Ini sekaligus memerlukan gabungan tenaga manusia yang kritis terhadap keadaan yang sedia ada, dan juga berani mengkritik diri sendiri, serta ingin mewujudkan ruang agar harapan dapat terus berkembang.
Cinta monyet, anak anjing atau manusia? Seringkali dalam usaha kita untuk kononnya membanteras gejala buruk yang dihadapi golongan remaja seperti seks dan kehamilan di luar nikah, kita menyalahkan apa saja yang mungkin menjadi penyebab – budaya Barat, pengaruh media, malah naluri remaja itu sendiri. Misalnya, cinta remaja itu seringkali dianggap remeh, seperti cinta seekor monyet yang hanya berpandukan daya atau naluri fizikal. Cinta-cinta muda diperlekehkan dan tidak dipandang serius kerana ia dianggap hanya bersikap fizikal dan duniawi (temporal). Sama juga dengan pengalaman atau aspirasi golongan muda yang seringkali dipandang remeh hanya kerana seseorang itu belum cukup “makan garam”.
Jadi timbullah lagu-lagu di corong radio yang memberitahu anak muda untuk berhati-hati dalam bercinta, untuk tidak dibuai cinta, atau seperti dalam lagu gabungan Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali, untuk “duduk renggang-renggang dan jangan pegang-pegang” kalau berpacaran. Apakan pula rhetorik tentang “lebih baiknya cinta kepada Tuhan”, atau “lebih baiknya bercinta selepas bernikah” yang bersikap apologetik dan seolah-olah melarikan diri daripada nilai cinta itu sendiri. Kononnya ini mampu menyelesaikan masalah-masalah remaja dan daya seksual mereka. Namun, pada masa yang sama, kita bersikap berbelah bagi terhadap konsep cinta ini, seolah-olah menghadapi masalah schizophrenia. Kita terlalu sangat mendambakan cinta ini sehingga begitu taksub dan berkejar-kejar untuk menaiki pelamin, tetapi sememangnya juga amat mentakutinya dan justeru mahu mengawal dan mengongkongnya. Lihat saja novel-novel yang laris di pasaran dan di perpustakaan bagi golongan muda – semuanya menjurus ke arah cinta (yang bersifat romantis saja, seolah-olah tiadanya cinta lain). Malah cinta pada Tuhan, yang sememangnya luhur dan agung, juga dikaitkan dengan cinta pada seorang gadis atau jejaka yang tampak beriman – yang berhijab atau berniqab bagi si gadis, dan berjanggut serta bertasbih bagi si jejaka. Jelaslah obsesi pada cinta romantis, walau dalam bentuk apapun, tetap ada.
Tetapi kita tidak mampu untuk melangkah lebih jauh dari itu. Kita masih tidak dapat membahaskan konsep cinta, terutama bagi golongan muda, secara positif, terbuka dan konstruktif. Apakan pula pada keupayaan dan kecenderungan golongan remaja terhadap ideal-ideal dan kebenaran, termasuk cinta yang luhur dan meluas? Dalam perbincangan kita tentang “masalah remaja” atau “cinta remaja”, adakah kita mengambil kira peri pentingnya keupayaan ini?
Aku teringat akan kisah cinta pertamaku – sebuah cinta yang amat hebat, yang seolah-olah mampu melawan segala arus keburukan dalam dunia ini. Dengan cinta itu, kami seolah-olah mampu menguasai seluruh dunia dan segala isi kandungannya. Dari cinta itulah aku mempelajari akan kehidupan; akan nilai-nilai kasih sayang, emansipasi diri, keberanian dan kesungguhan. Dan cinta itulah yang telah mendefinisikan konsep cinta bagiku, sesuatu yang tidak pernah diajari mahupun dibincang di kelas-kelas moral di sekolah atau kelas agama. Adakah ia setakat sebuah cinta monyet, hanya kerana kami masih di peringkat remaja? Tentu tidak. Bagiku, itulah cinta manusia yang cenderung ke arah kebenaran, ke arah ideal-ideal kemanusiaan yang lain seperti keyakinan, kesungguhan dalam harapan dan keberanian untuk meluahkan pemikiran dan jati diri. Malangnya atau tidak, cinta itu juga telah mematahkan hatiku dan menghancurkan semangatku buat seketika. Tetapi bagiku, perasaan patah hati itu Ia banyak mengajarku akan kepentingan nilai keyakinan diri dan sikap berdikari, serta menyedarkanku akan kelemahan cinta yang terlalu bergantung pada orang lain. Jadi rasa patah hati itu tidak bukanlah masalah sebenarnya. Soalnya ialah bagaimana kita menghadapinya secara positif dan membina. Kita terlalu ditakuti akan rasa patah hati dek peleraian cinta sehinggakan kita mentakuti atau membenci cinta itu sendiri. Ini juga mungkin mencerminkan nilai-nilai sebuah budaya yang mentakuti kegagalan, sehingga tidak menggalakkan sikap mengambil risiko.
Bagiku, golongan muda penuh dengan daya, keupayaan serta kecenderungan terhadap idealisme dan kebenaran. Tanggapan bahawa golongan muda tidak berpijak di bumi nyata, atau hanya menginginkan kebendaan materi atau nikmat-nikmat duniawi sahaja tidak menggalakkan mereka untuk terus mengejar idealisme ini. Terdapat tanggapan bahawa dengan keinginan untuk berpijak di bumi nyata, kita seharusnya melenyapkan saja impian dan idealisme remaja itu. Daya idealisme dan kedegilan semangat remaja seharusnya dipupuk kerana merekalah yang mempunyai masa, tenaga dan semangat melulu untuk mencari yang ideal dan benar.
Jadi bagaimana untuk terus membakar semangat dan kedegilan ini? Satu faktor penting adalah untuk tidak meminggirkan atau memperkecilkan idea atau pandangan golongan muda dalam sesebuah hal. Walaupun idea tersebut mungkin tampak remeh atau kurang matang, ia sememangnya dapat menjadi sumbangan penting sebagai nafas baru bagi masyarakat yang mungkin tersangkut dalam cara pemikiran yang lama dan menyempitkan. Seseorang itu tidak semestinya kurang memahami kebenaran tentang cinta, misalnya, hanya kerana usia remajanya.
Dalam kita berbincang tentang masalah-masalah remaja dan dalam semangat membara untuk membimbing mereka, cinta jenis apakah yang kita mahukan? Adakah kita hanya mengawasi anak-anak muda akan kesulitan cinta monyet yang berpandukan naluri fizikal, atau mahukah kita menjuruskan mereka ke arah cinta manusia yang memuliakan setiap pengalaman dan nilai manusia, walau sekecil manapun?