"Sejak aku belajar melepaskan, aku rasa lagi tenang. Aku buat je. Aku dah tak berkira kira , tak pening dah. Dengan adik beradik kita nak hidup lama"
Aku rasa itu pesan Kak Aisyah paling menusuk kalbu dalam sembang pagi, sehari sebelum aku pulang ke kampung halaman, menerus kan WFH aku di rumah ku kerana lebih selesa.
Aku ceritakan pada dia yg aku kadang kadang rasa geram dan marah dengan adik beradik sendiri. Mungkin sebenarnya ia hal hal kecil sahaja tapi , begitu lah. Ada hal hal dalam hidup yg kita fikir semua orang sepatutnya faham bagaimana untuk tanggapi sesuatu perkara. Lebih -lebih lagi adik beradik. Kita dilahirkan dan dibesarkan dengan suasana yang sama fikir kita.
Tapi sebenarnya tidak kan? Dengan siapa kita berkawan, di mana kita belajar, penglibatan kita dengan dunia yg luar yg berbeza, itu juga menentukan bagaimana kita menanggapi sesuatu perkara dalam hidup kan?
Sama juga dengan rakan rakan serumah. Itu lagilah. Kalau yang menyewa dalam rumah itu 12 orang,maka 12 perangai yg berbeza harus kita sabar dalam menanggapi perkara perkara yg berbeza dengan kita.
Aku teringat pesan Kak Aya sewaktu awal awal masuk rumah dahulu, "Ini tempat untuk kita berlatih untuk "Baitul Muslim" kita nanti. Macam mana kita nak give and take, nak belajar terima kekurangan dan kelebihan setiap orang ". Dan atss sebab itulah, walaupun aku pernah bergaduh dengan seorang rakan serumah, aku tetap kekal di situ (cumanya semestinya hubungan aku dengan dia agak sedikit kaku dan tidak rapat).
Aku masih mencuba untuk menahan diri dari membesarkan perkara perkara yg sebenar kecil. Seperti tidak kemas peti ais, tinggalkan barang barang yg sudah rosak dalam peti ais atau luar, tak jaga periuk non stick dengan elok dan macam macam lagi ketidak senangan yang lain. Bukan mudah aku yg jenis cakap terus ini ingin menahan. Tapi aku cuba. Masih belajar untuk menahan sabar.
Aku tersentap dalam perkongsian kelas Tadabbur sabtu yg lalu dari Ustaz Imran Zaki waktu menerangkan Surah As Syarh. Ia tentang kelapangan dada.
Jika kita melihat dari Surah tersebut, kenapa Allah mengatakan bahawa Allah melapangkan dada dahulu ,baru lah mengangkat beban yg terasa ? Sama juga dengan doa yg selalu kita baca sebelum belajar, mengapa dimula kan dengan "Wahai Tuhan ku, lapangkan lah dadaku", kemudian baru lah " dan mudahkan lah urusan aku"?
Kerana kelapangan dada itu lah yg membuka ruang utk kita berfikir secara rasional dan tenang. Dan dari ketenangan dan kelapangan itu lah yg akan memberi kita jalan keluar.
Ustaz Imran memberi contoh tentang perkahwinan yang berakhir hanya sebab perbezaan cara memicit ubat gigi. Kenapa sampai ke tahap itu mudahnya orang bercerai? Kata Ustaz, "Kerana dada nya tidak lapang".
Sentap.
Aku terus termuhasabah akan situasi aku sendiri. Situasi aku dengan adik beradik. Dengan rakan rakan serumah. Kelapangan hati. Barangkali itu yang tiada dalam diri aku.
Dan aku, masih berusaha mencari dan memaksa diri aku untuk memupuk sabar dalam diri.
Doakan aku.
















