Melintasi Titian Sirat Dengan Selamat
Terdapat beberapa perkara yang dapat menyelamatkan kita ketika meniti Titian Sirat di akhirat kelak. Perkara-perkara tersebut hendaklah dilakukan sewaktu hidup di dunia ini. Sebab, apabila pulang menghadap Allah nanti kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Di sana adalah tempat menerima pembalasan ataupun hukuman.
PERTAMA Jadilah seorang yang mencintai masjid. Hati yang terikat pada masjid akan menyelamatkan pemiliknya daripada terjatuh ke dalam neraka. "Sangkutkan" hati di masjid, bukan di tempat-tempat yang lagha atau sia-sia. Ini perkara pertama yang perlu ada dalam diri kita.
KEDUA Jadilah seorang yang ikhlas apabila melakukan amal kebaikan seperti bersedekah dan sebagainya. Sangat sukar untuk mengikhlaskan hati dalam beribadah atau berbuat baik. Bercakap tentang ikhlas ini, dalam Al-Quran terdapat satu surah yang diberi nama surah Al-Ikhlas. Allah meninggikan darjat surah Al-Ikhlas, hinggakan pahala membacanya sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran.
KETIGA Jadilah seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain. Sangat tidak wajar bagi umat islam bertelagah sesama sendiri. Jangan deritakan jiwa dengan memendam rasa sakit hati atau dendam terhadap orang lain.
KEEMPAT Jadilah seorang yang ringan tulang iaitu sangat mudah dalam memudahkan urusan orang lain membantu menringankan beban atau masalah yang dihadapi seorang hamba Allah.
KELIMA Jadilah seorang yang tidak kedekut memenuhi keperluan orang lain. Tidak mementingkan diri sendiri, terutamanya dalam melakukan amalan yang dapat membantu orang lain mentaati perintah Allah.
KEENAM Jadilah seorang yang menjaga hal ehwal orang Mukmin daripada gangguan golongan kafir atau munafik.
Inilah antara perkara yang perlu kita lakukan semasa hidup ini untuk beroleh selamat ketika merentasi Titian Sirat kelak.
Dalam surah Al-Furqan Allah menceritakan tentang saat manusia dicampakkan ke dalam neraka. Allah berfirman :
Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan daripada azab itu). (Al-Furqan 25:13)
Dalam firman-Nya yang lain :
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya, meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (daripada orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang rasul pemberi ingatan dan amarah (di dunia dahulu)?" Mereka menjawab, "Ada. Sebenarnya telah datang kepada kami seorang rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): 'Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!''" (Al-Mulk 67: 7-9)
Antara sifat neraka yang digambarkan, Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Rasullulah, sabdanya :
Neraka dinyalakan selama seribu tahun hingga ia menjadi amat merah. Kemudian dipanaskan selama seribu tahun lagi sehingga menjadi amat putih. Kemudian dipanaskan lagi selama seribu tahun sehingga menjadi hitam pekat.
Manakala dalam riwayat lain menjelaskan neraka dibakar selama seribu tahun sehingga menjadi putih, kemudian dibakar lagi selama seribu tahun menjadi merah. Lalu dinyalakan lagi selama seribu tahun lagi menjadi hitam pekat, berwarna gelap seperti malam yang tiada bulan dan bintang.
Ibnu al-Mubarak menyebut riwayat daripada Suffian daripada Sulaiman daripada Abu Zibyan daripada Salman bahawa neraka itu hitam. Bara apinya tidak bercahaya, gelap yang pekat dan busuknya keadaan di dalam neraka.
Dalam Surah al-Hajj ayat 22:
Tiap- tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"