New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/11/hadi-awang-sifatkan-gerakan-jatuhkan-beliau-perkara-kecil/
Hadi Awang sifatkan gerakan jatuhkan beliau "perkara kecil"
SHAH ALAM, 11 April:
Pergolakan di dalam PAS antara golongan ulama dan profesional, termasuk hingga ke tahap mahu menggulingkan Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti yang dilaporkan di dalam media akhir-akhir ini disifatkan sebagai “perkara kecil” oleh Hadi sendiri.
Menurut Hadi beliau yakin perselisihan pendapat dan pandangan yang timbul boleh diselesaikan dengan cara yang baik.
Malah tegasnya, PAS akan terus berdiri teguh sebagai sebuah parti Islam di dalam Malaysia dengan jumlah keahlian yang kini mencatat lebih satu juta orang.
“Apa yang digembar-gemburkan media hari ini, kecil sangat.
“Masalah dalaman parti tidak menjadi masalah. Tahun 50-an pernah berlaku, PAS tidak mati. Tahun 60-an berlaku krisis beberapa pimpinan PAS keluar parti, PAS tidak mati dan terus mara ke hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Nadwah Fiqh Ikhtilaf hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan keadaan dalaman parti itu yang dilihat goyah dengan pertembungan pandangan dikalangan ahli-ahlinya.
Krisis dalaman PAS juga dilihat kian meruncing setelah perbezaan pendapat antara golongan profesional dan ulama melibatkan beberapa perkara.
Sebelum ini, pencetus kepada krisis di dalam PAS adalah apabila Hadi bertegas mengenai keputusan pertukaran Menteri Besar Selangor yang pada ketika itu disandang oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Masalah kian melarat apabila tercetusnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang apabila PAS mendakwa tidak dimaklumkan dengan ‘Langkah Kajang’ yang dikatakan merupakan idea Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Terus berlanjutan apabila isu hudud mengambil alih lensa politik negara dengan ketegasan parti itu untuk melaksanakan undang-undang berkenaan di Kelantan.
Sehingga ke hari ini, walaupun Rang Undang-Undang Persendirian Hadi berjaya dibawa masuk di dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, ia belum dapat meminda Akta 355 bagi membolehkan Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut kerana sidang Dewan sudah ditangguhkan.













