Sanggup?
Sewaktu temuduga tempoh hari, aku ditanya oleh panel berjawatan admin tentang pekerjaan-pekerjaan yang tidak berkenaan dengan jawatan yang aku pohon, misalnya membasuh tandas, memasukkan duit di bank dan sebagainya. Kalau aku disuruh untuk melakukan kerja-kerja sebegitu, apa aku sanggup?
"Boleh buat?" Dia bertanya
"Tiada masalah." Aku jawab.
Aku menambah bahawa itu semua pekerjaan yang biasa aku lakukan semasa intern. Mengepos surat, menghantar dan mengambil barang, buat tempahan brosur dan baju, hubungi pihak tertentu, tolong bawa admin menghantar dokumen audit dan macam-macam lagi. Aku tidak rasa ia suatu masalah atau beban. Bahkan aku dapat belajar banyak.
Asalkan,
Aku tidak rasa yang aku ini dianggap sebagai kuli. Maksudnya, biarpun aku disuruh melakukan semua pekerjaan ini, aku harap ia dibuat dengan rasa timbang rasa terhadap keadaan penat lelah aku, ada penghargaan dengan ucapan terima kasih, dan menyebut perkataan 'tolong' sebelum meminta aku melakukan sesuatu.
Sebab aku melakukannya atas kedudukan aku sebagai pekerja, atas dasar ihsan seorang manusia, bukan kerana aku hamba.
Selagi semua itu ada aku tiada masalah.










