New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/11/22/teresa-ahli-umno-pengecut/
Teresa: Ahli UMNO pengecut
KUALA LUMPUR, 22 November:
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok melebal ahli UMNO sebagai penakut kerana tidak mahu membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada perhimpunan agung parti itu yang akan bermula pada minggu hadapan.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, isu berkenaan sangat penting dan ia perlu dibangkitkan dalam perhimpunan agung parti itu akan datang.
“Isu melibatkan 1MDB yang dibangkitkan oleh DAP dan Dr Mahathir adalah isu serius di mana delegasi UMNO perlu berani untuk mendebatkannya. Ini tidak, mereka mengetengahkan topik sekolah vernakular dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memantapkan ekonomi Bumiputera.
“Apa perhimpunan agung itu cuba capai dengan menjadikan isu sekolah vernakular sebagai topik utama dan dalam konteks sekolah satu aliran bertentangan sekolah vernakular?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kok berkata, UMNO sewajarnya mencermin diri mereka sendiri sebagai punca kegagalan sistem pendidikan negara, malah menteri sendiri menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa.
“Jika UMNO terlalu bimbang dengan isu pendidikan sekolah rendah, mereka juga boleh berbincang secara rasional mengapa sekolah kebangsaan gagal menjadi pilihan utama ibu bapa, seperti yang dibangkitkan bekas perdana menteri di mana ramai menteri dan pemimpin UMNO menghantar anak mereka ke sekolah swasta atau antarabangsa, sama ada dalam atau luar negara,” katanya.
Kok juga membidas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang menyerangnya secara peribadi, tetapi pada masa sama tidak berani membangkitkan isu 1MDB.
“Beliau tidak berani untuk bangkitkan isu 1MDB di PAU 2014. Bagi menyembunyikan fakta, beliau memilih untuk serang saya secara tidak berasas. Serangannya termasuk menuduh saya pada masa lalu menghina kedudukan orang Melayu dan Islam,” katanya.