dua puluh lapan september
dengan nama-Mu akanku mulakan kata-kataku
daripada syaitan yang direjam aku memohon perlindungan daripada-Mu
daripada segala kesedihan dan kesakitan aku memohon perlindungan daripada-Mu
di bawah langit yang luas, dihiasi bintang berkerlipan... aku tidak puas melihat segala keajaiban Tuhan. walaupun aku keletihan setelah menghadapi minggu yang sangat mencabar, dengan masalah kesihatan, masalah emosi, dan masalah pelajaran... namun segalanya hilang apabila aku melihat serpihan angkasa yang begitu luas.
sepanjang bulan ini, aku terasa sangat kosong. kosong yang membuatkan aku tiada keinginan untuk membuat apa pun. ada seorang sahabat aku mencadangkan supaya aku menonton filem, namun aku masih rasa kosong kerana aku keseorangan. selain itu, ada yang mencadangkan agar aku membuat aktiviti luar, namun tiada aktiviti luar yang menarik bagi aku. ada yang menarik, tetapi aku mungkin tidak tahu.
ada yang cakap aku perlu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. walaupun ada yang cakap benda itu tidak sepatutnya diberitahu, namun ada benarnya. namun aku tidak faham, ada yang cukup solatnya... siap melakukan ibadah sunat lagi, namun hatinya masih tidak tenteram. bagi aku, bukan salah sesiapa pun walaupun aku sangat kasihan dengan golongan tersebut. walau apa pun, aku doakan agar segalanya baik-baik sahaja. Allah SWT tidak akan memberi suatu dugaan melainkan kepada yang mampu. (cewahhh)
ada yang mencadangkan agar aku mendapatkan bantuan pakar. bukannya aku tidak mahu, namun aku bukannya jenis yang percaya orang sangat. betul, mereka adalah professional yang perlu patuh dengan etika mereka, namun siapakah mereka yang membuatkan aku perlu percaya. dengan ketiadaan wang dan masih lagi pelajar, lebih baik aku selesaikan dengan cara aku.
mungkin aku akan perlukan insan yang pakar, tetapi semasa aku sudah berjaya nanti. hal ini disebabkan oleh saya perlukan seorang pakar yang boleh berdamping dengan saya dan saya rasa selesa sehingga saya menjadikannya sebagai sahabat. oleh itu, sekarang saya perlukan seorang sahabat. bukan untuk dijadikan jalan penyelesaian, hanya untuk saling mendengar dan saling berkongsi.
kembali kepada kekosongan. selain berasa kosong, aku mengalami writer's block, iaitu seorang penulis yang tidak mempunyai idea untuk menulis karyanya. betul, ketika aku menulis post ini pun sebenarnya aku tiada idea. oleh itu, aku minta maaf sekiranya post ini banyak merapu. sejujurnya aku tidak tahu untuk menulis apa-apa buat setakat ini, namun ia memberikan idea kepada aku untuk menulis tentang perkara ini.
selain itu, contoh terdekat adalah post dua puluh enam september. betul, puisi tersebut. bagi aku, puisi tersebut agak tidak kena bagi aku kerana ia sangat pelik untuk aku menulisnya dalam keadaan aku bukan ada dalam perasaan tersebut. sebaliknya, aku memaksa diri aku untuk menulis berkenaan dengan benda yang menyeronokkan... bukan menyedihkan.
aku tahu aku berhak untuk hidup dengan gembira, namun aku sedar aku terlalu memaksa diri aku untuk menulis perkara yang aku tiada hati padanya. ya, peristiwa pahit membuatkan hati aku tertutup dengan cinta. banyak lagi tema lain yang aku boleh pilih, namun 'cinta' juga yang menjadi pilihan kerana topik lain sudah kering di minda.
dalam sebulan ini juga, aku lagi banyak menangis daripada tahun-tahun sebelumnya. maklumlah lelaki kena keraskan hati. namun kekerasan hati aku menyebabkan aku semakin sensitif dan sangat cepat terasa. walaupun benda kecil seperti tak balas WhatsApp, aku akan sangat terasa. mungkin aku perlukan kasih sayang daripada orang yang bergelar sahabat kot.
aampai satu tahap, aku dah penat menangis. tetapi air mata aku tetap mengalir setiap kali hati aku terhiris walaupun sedikit. dengan sikap aku yang semakin cepat terasa, sampai orang cakap aku makin kurus pun aku boleh menangis. aku lelaki, mana mungkin aku boleh menangis. nasib baik aku menangis tatkala aku menyendiri.
lalu datangnya sahabat aku menyatakan bahawa lelaki tidak boleh menangis adalah satu benda yang salah. aku pun terbaca bahawa kaum adam ini selalu memendam perasaan menyebabkan mereka lebih tertekan daripada golongan wanita. lalu, ia menjadikan kadar bunuh diri bagi lelaki sangatlah tinggi berbanding dengan kaum hawa.
sejak itu, aku memang melepaskan setiap hari dan ia merupakan suatu terapi dan kelegaaan. namun, sampai bila aku harus jadi begini? sampai bila aku perlu menjadi rapuh? aku perlu menjadi kuat supaya aku dapat menguatkan orang lain. aku tidak boleh membantu orang dengan keadaan aku yang sangat teruk. kalau diri aku teruk, takkan aku inginkan semua sahabat aku teruk juga.
oleh itu, aku perlu bangun daripada segala mimpi buruk ini. aku perlu mencari apa yang boleh mengisi kekosongan hati. kembali kepada-Nya, mencari hobi yang aku selesa, meneruskan penulisan karya di blog ini, berinteraksi dengan orang atas kemampuan sendiri. walau apa pun yang terjadi, aku tetap perlu meneruskan hidup ini dengan membawa hati yang kosong ini untuk mencari benda yang positif.
aku harap rakan-rakan senasib atau lebih hebat ujiannya agar dipermudahkan urusan kalian dan sentiasa dirahmati-Nya. kalau boleh aku nak peluk kalian semua (memang saya sangat manja orangnya). semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan.