KITA BERADA DI BAWAH LANGIT YANG SAMA
Aku tuliskan coretan di sini untuk memberikan semangat buat hati yang sering merindui suami di kala dia membanting tulang mencari rezeki jauh di kepulauan sana. Selama ini, aku dibesarkan dalam keluarga yang cukup, pulang dari sekolah sudah ada ibu bapa yang menanti. Makan tidak merindu, bangun pagi tersedia makanan di atas meja, sehingga dewasa juga ada orang tua yang bisa menghantar aku ke tempat kerja. Tidak pernah rasa ditinggalkan jauh oleh ibu bapa untuk tempoh yang lama.
Kini, giliran aku di sini meninggalkan rindu buat suami yang perlu berlayar jauh di kepulauan Borneo, dan aku pula di semenanjung. Baru sahaja menjalin ikatan cinta selama 2 minggu, terus aku menemani dia ke KLIA. Masanya sudah tiba untuk suami pulang ke tempat mencari rezeki.
Adapun jauh berlayar di sana, insha allah. Akan sentiasa Tuhan menjaga hati-hati kita dan sentiasa menitipkan rasa rindu dan cinta buat kita.
Dan, aku coretkan doa ini buat kita, agar kita bisa menikmati cinta dengan kukuh dan sentiasa mekar di setiap waktu. Semoga Allah sentiasa memakbulkan doa yang kita hajatkan.
*******************************
"Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahiim, Ya Ghafar, Ya Razaq, Ya Fattah, Ya 'Alim, Ya Sami', Ya Basir,
Ampunilah segala dosa-dosaku, dosa suamiku, dosa-dosa orang tua kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami, dosa rakan-rakan kami, dosa muslimin & muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ampunilah dosa-dosa kami, bersihkanlah hati-hati kami, ampunkanlah segala dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar yang telah kami lakukan dengan sengaja ataupun tidak sengaja, berikan kami rezeki untuk sentiasa bertaubat kepadaMu sebelum kami meninggal dunia dan kurniakanlah Taufiq dan Hidayah kepada kami agar kami menjadi hambaMu yang bertaqwa.
Ya Allah, ya Rahman Ya Rahiim,
Lapangkanlah hati-hati kami, jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sentiasa berlapang dada, sentiasa memaafkan orang lain, sentiasa lemah lembut dan jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sentiasa berakhlak baik dan jangan lah Engkau biarkan kami menzalimi diri kami sendiri dan jauhkanlah kami daripada perkara yang melampaui batas. Berikanlah kami ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi segala ujian di atas muka bumi ini.
Ya Allah, jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat dan ujian yang Engkau berikan. Janganlah Engkau membiarkan kami lemas dan hanyut dalam ujian yang tidak mampu kami tanggung, bantu lah kami, permudahkanlah segala urusan kami dalam menjalani setiap ujian yang Engkau berikan, berilah kelapangan, ketenangan dan ketenteraman kepada hati-hati kami dalam menempuhi segala ujianMu. Bantulah kami, lindungi lah kami dan peliharalah diri kami.
Ya Allah, aku sangat bersyukur kepadaMu atas segala nikmat yang Engkau berikan. Aku bersyukur kepadaMu kerana dengan izinMu, Engkau mempertemukan aku dengan seorang pasangan untuk aku menghalalkan perhubungan ini. Aku bersyukur kepadaMu kerana Engkau memberikan nikmat perkahwinan ini buatku dan pasanganku. Di saat orang lain sedang berusaha mencari jodoh, Engkau juga tidak melupakan aku untuk memberikan nikmat berkahwin ini. Ya Allah, Engkau tahu bahawa perjalanan untuk menuju kepada perhubungan ini ada naik turunnya, Engkau tahu bahawa kami juga melakukan kesilapan yang banyak sebelum berkahwin, kami akui bahawa ianya salah di sisiMu. Namun, Engkau Maha Baik, tetap memberikan peluang kepada kami untuk bersatu. Ampunkanlah dosa-dosa ku dan suamiku. Ampunkan lah segala dosa-dosa yang telah kami lakukan sebelum kami berkahwin. Gantikanlah setiap dosa-dosa tersebut dengan kebaikan. Redhai lah perkahwinan kami, rahmatilah kehidupan kami, berkatilah perkahwinan kami. Kurniakanlah rezeki perkahwinan kami dengan sakinah, mawaddah wa rahmah. Mudah-mudahan Engkau mengampunkan dosa-dosa kami. Sesungguhnya, mendapatkan redha dan pengampunan daripadaMu adalah lebih utama daripada segala hal.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahiim, Ya Razaq, Ya 'Alim,
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami rezeki perkahwinan yang Engkau redhai. Berkatilah perkahwinan kami. Permudahkanlah segala urusan ku dan suamiku dalam mencari rezeki, permudahkanlah segala urusan kami dalam menempuhi kehidupan perkahwinan ini sehingga ke akhir hayat kami, permudahkanlah segala urusan kami dalam menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak kami, permudahkanlah segala urusan kami dalam membina keluarga kecil kami ini.
Ya Allah, lapangkanlah rezeki kami sebagai suami dan isteri. Bukalah pintu rezeki seluas-luasnya seperti luasnya lautan di bumi ini. Kurniakanlah kepada kami rezeki yang tidak putus-putus seperti tidak terputusnya air zam-zam. Berikanlah kekuatan, kerajinan, kegigihan, ketabahan dan kesabaran kepada kami dalam mencari rezeki buat keluarga kecil kami ini. Permudahkanlah juga urusanku dan suamiku dalam mencari rezeki, bantulah kami dalam mencari rezeki, murahkanlah rezeki suamiku agar dia dapat memberi nafkah yang baik kepada isteri dan anak-anaknya. Janganlah Engkau membiarkan suamiku culas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa. Jauhkanlah suamiku daripada perkara yang syubhah & haram dalam mencari rezeki, jauhkanlah suamiku daripada perkara-perkara maksiat, berkatilah rezekinya, redhailah pekerjaannya dan permudahkanlah urusannya.
Ya Allah, Ya Razaq, Ya Rahman, Ya Rahiim,
Kurniakanlah kepada kami anak-anak yang soleh dan solehah, anak-anak yang sihat, anak-anak yang bijak dan anak-anak yang berakhlak mulia. Walaupun kami tidak mempunyai anak di dunia, kurniakanlah kepada kami anak-anak di dalam syurga. Pertemukanlah diriku, suamiku dan anak-anak kami di dalam syurga. Satukanlah kami di syurga dan redhailah kehidupan kami sebagai sebuah keluarga di dalam syurgaMu. Jadikanlah kami sebagai sebuah keluarga yang sentiasa berpegang teguh dengan agamaMu, sentiasa menjaga solat, jauhkanlah kami daripada kejahilan agama, perbaikilah akhlak kami, amalan kami, ibadah kami dan perbaikilah kehidupan kami. Lindungilah kami daripada perkara-perkara maksiat dan dosa-dosa, peliharalah kehidupan kami agar kami sentiasa hidup dalam keredhaanMu di dunia dan di akhirat.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami cintaMu ketika kami berada di dunia dan di akhirat. Peliharalah diri kami daripada segala aib. Lindungilah kami, ampunkanlah dosa-dosa kami. Permudahkanlah segala urusan kami di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya kepada Engkau kami memohon ampun, kepada Engkau kami meminta pertolongan, kepada Engkau kami berlindung dan kepada Engkau kami berserah.
Makbulkanlah doa-doa kami, ampunkan segala dosa-dosa kami. Matikanlah kami dalam keadaan Husnul Khatimah, matikanlah kami dalam iman, dan dekatkanlah hati-hati kami dengan cahaya iman. Mudah-mudahan Engkau merahmati, memberkati dan meredhai kehidupan kami.
Ameen, ya Rabbal Alamin."
Semoga Allah memakbulkan segala doa kami.