New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/global/2015/03/17/tiga-beranak-maut-akibat-bom-patung/
Tiga beranak maut akibat bom patung
Tiga beranak terbunuh, selepas sebutir bom yang disorokkan dalam sebuah patung meletup di rumah mangsa, di barat laut Pakistan, pada Selasa.
Tragedi itu berlaku di Kampung Bishigram, Lembah Swat.
Ketua polis setempat, Salim Khan Marwat memberitahu AFP, tiga kanak-kanak bersama seorang sepupu mereka membawa balik sebuah patung yang dijumpai mereka di tepi jalan.
Namun, kegembiraan kanak-kanak itu berakhir dengan tragedi, apabila patung berkenaan meletup, sebaik sahaja kanak-kanak itu memasuki rumah mereka.
“Bapa berkenaan yang berusia 35 tahun bersama anak perempuannya berusia 9 tahun dan anak lelakinya berusia 7 tahun mati serta-merta, manakala dua lagi kanak-kanak cedera,” katanya sambil menambah, mangsa cedera adalah seorang lagi anak lelaki mangsa dan sepupunya.
Polis masih menyiasat dari mana datangnya bom berkenaan.
Berpuluh-puluh kanak-kanak, kebanyakan di barat laut Pakistan yang dibelenggu pemberontakan terkorban, ketika bermain dengan patung-patung mereka yang disorokkan bom.
Bom “patung” dijatuhkan ke kawasan penempatan Afghanistan oleh tentera Kesatuan Soviet pada 1980-an, sebagai senjata bagi “menangani” penduduk yang membantah pencerobohan mereka.
Lembah Swat berada di bawah penguasaan Komander Taliban Pakistan, Maulana Fazlullah dari 2007 hingga 2009, di mana ia menguatkuasakan undang-undang syariah yang ketat, termasuk melaksanakan hukuman sebat dan gantung di khalayak ramai.
Kumpulan militan itu akhirnya diusir dalam satu operasi tentera, selepas gencatan senjata gagal dilaksanakan.
Kumpulan Taliban menembak aktivis pendidikan, Malala Yousafzai di kepalanya di Lembah Swat, pada 2012.
Fazlullah yang mendakwa tembakan itu diarahkan olehnya, dilantik sebagai Ketua Taliban Pakistan pada 2013.
Pakistan giat memerangi pemberontakan kumpulan militan lebih sedekad lalu, selepas ia bersetuju untuk bekerjasama dengan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat di negara jiran, Afghanistan.