New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/11/dua-lagi-mayat-warga-asing-ditemui-dua-hari-berturut-turut/
Dua lagi mayat warga asing ditemui dua hari berturut-turut
TASEK GELUGOR, 11 Disember:
Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam semak di tepi jalan di Jalan Bukit Tok Alang, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Menurut jurucakap polis mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu ditemui berbalut dengan kain pelikat seperti dikafan oleh seorang lelaki yang melalui kawasan berkenaan.
“Lelaki itu melalui kawasan berkenaan sebelum terbau benda busuk, dia kemudian mencari di sekitar semak di tepi jalan tersebut sebelum ternampak bungkusan kain pelikat.
“Dia mendekati dan ternampak mayat manusia dalam kain pelikat tersebut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata polis percaya mangsa mati di tempat lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan sejak empat hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.
“Pemeriksaan forensik mendapati mayat lelaki berkulit gelap itu tiada tanda suntikan BCG,” katanya.
Jurucakap itu berkata pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata ,mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan, katanya.
Sebelum itu pada 9 Disember (Selasa), beberapa penduduk kampung yang mencari tumbuhan hutan di Kampung Acih, Ara Kuda juga di Tasek Gelugor menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata, mayat lelaki yang dipercayai warga Myanmar itu ditemui oleh penduduk kampung pada jam 1.30 petang.
Pemeriksaan polis menemui sekeping kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang dipercayai milik mangsa berhampiran lokasi kejadian, kata Abdul Rahman .
Lelaki itu dipercayai telah mati sejak dua minggu lalu berdasarkan keadaan mayatnya dan polis tidak menolak kemungkinan dia dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di kawasan hutan itu.
Mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.