New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/21/majlis-fatwa-tidak-bincang-zikir-menari-tarekat-nasyabandi/
Majlis Fatwa tidak bincang zikir menari, tarekat Nasyabandi
Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan semalam tidak membuat sebarang keputusan ataupun perbincangan mendalam tentang zikir menari dan hubungan Habib Syeikh Abdul Kadir As- Segaff dengan tarekat Nasyabandi Haqqani.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa semalam selaku ahli dari awal sehingga akhir tanpa keluar walaupun sejenak.
Menurut beliau, mesyuarat semalam hanya memutus dua isu sahaja iaitu tentang kedudukan mangsa MH370 dan isu mereka yang terlibat dengan kumpulan militan IS.
Beliau berkata, ada anggota fatwa dari Pantai Timur yang mengingatkan tentang hubungan golongan tertentu dengan tarekat Haqqani, lirik yang menyanggahi syariat serta meminta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar mengelakkan hadir dalam majlis seperti itu dan JAKIM juga memaklumkan mereka tidak pernah hadir.
“Namun, satu perbincangan rasmi untuk keputusan rasmi sama sekali tidak berlaku semalam.
“Saya ingin mengandaikan mungkin pihak media tersalah lapor ataupun itu hanya pendapat peribadi,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata tiada larangan terhadap melakukan zikir sambil ‘menggoyangkan badan’.
Dalam kenyataannya, Abd Shukor berkata untuk mengatakan perbuatan itu haram atas dasar Rasulullah tidak pernah melakukannya adalah tidak tepat kerana pada asasnya perkara harus, kekal harus melainkan ia bertentangan dengan prinsip dan semangat al-Quran dan sunnah.
Tambah Mohd Asri, buat rakyat Perlis khususnya dan Malaysia umumnya, selaku anggota Majlis Fatwa, beliau menafikan terlibat dalam membuat keputusan yang membolehkan zikir menari seperti itu.
“Bahkan pendapat saya seiras dengan kertas kajian Mufti Wilayah dan demikian kenyataan yang pernah dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, juga pendapat yang disuarakan oleh Mufti Terengganu,” ujarnya.