Kesinggahan aku sebulan di sini dalam menjalani latihan ilmiah, tidak cukup untuk memerhati dan menilai tahap pencapaian anak-anak. Ketika kali pertama aku jejakkan kaki hinggalah waktu untuk aku meninggalkan tempat ini kerana tempoh praktikal aku sudah tamat, tiada perubahan menonjol yang dapat terlihat pada mereka.
Yang tidak tahu membaca dahulu, tetap masih merangkak-rangkak mengeja pada kali terakhir aku melihat. Yang keputusan peperiksaannya dahulu banyak tidak lulus, untuk kali berikutnya sama juga. Kekadang sedih melihat Daniel. Tatkala dia sedang berusaha mengeja sesuatu perkataan dengan upayanya, kawannya menyampuk dengan sindiran. Terus dia hilang semangat dan kecewa. Bahkan sampai merajuk tidak mahu belajar.
Tiada apa yang dapat dibanggakan daripada anak-anak Khairiyah sebenarnya kalau melihat pencapaian akademik dan pelajaran mereka. Hanya segelintir sahaja yang layak dikira cemerlang. Kebanyakan daripada mereka, rata-rata tidak lulus dalam peperiksaan. Masalah literasi juga masih tidak menurun. Melihat keadaan sebegini, kita yang melihat ada juga rasa kecewa dan sedih, tetapi tuan punya badan seakan masih boleh senyum dan bergelak ketawa. Seakan mereka tidak endah pun dengan semua ini. Berat mata yang memandang, terasa ringan pula bahu yang memikul. Ironi.
Ini kerana anak-anak tidak sedar bahawa apa yang mereka pikul itu punya signifikan buat masa hadapan mereka. Meskipun kekadang mereka diberitahu tentangnya, namun intinya tidak tersemai dengan baik. Keadaan sekeliling yang penuh hiburan dan keseronokan lebih banyak mempengaruhi diri dan membuatkan mereka lupa.
Lihatlah bagaimana ketika silih berganti hari, silih berganti juga permainan yang mereka bawa setelah pulang daripada sekolah. Pistol, gasing, bola dan lain-lain, entah daripada mana mereka beli dan entah bagaimana mereka mendapatkan duit untuk membelinya. Kalau daripada duit tabungan, ternyata anak-anak ini sebenarnya mempunyai kecekalan untuk berjimat demi memenuhi keseronokan mereka. Andai sahaja mereka mempunyai kecekalan yang sama dalam pembelajaran, nescaya mereka mampu untuk pergi jauh ke hadapan lagi.
Walaupun begitu adalah tidak adil untuk kita menilai seseorang manusia itu, termasuk kanak-kanak, hanya dengan nilaian markah dan lulus. Itu semua sekadar penilaian intelek. Memanusiakan seseorang manusia adalah lebih sekadar intelek. Ciri-ciri paling penting adalah peribadi.
Benar mereka belum menuju kepada sesuatu perkara yang kita harapkan, tetapi kekadang kita tidak menyedari bahawa mereka adalah seseorang pada hari ini. Mereka tidak cemerlang dalam akademik dan pelajaran tetapi mereka tetap maju cemerlang dalam menjadi diri mereka sendiri dengan segala kelebihan dan kebaikan yang dimiliki.
Perlukah penghargaan kita diberikan kepada anak-anak tatkala mereka mencapai apa yang kita harapkan sahaja? Tidak. Realitinya ada banyak kebaikan yang telah anak-anak ini lakukan dalam sehari-hari. Ada banyak kemajuan yang telah mereka upayakan, hanya sahaja kita melihat itu sebagai suatu hal yang biasa, sedangkan setiap satu daripada kebaikan dan kemajuan itu, meskipun kecil adalah kejayaan yang patut dibangga.
Masih terngiang-ngiang suara Kak Ain tatkala dengan rasa syukur dan teruja, dia bercerita kepada aku dan rakan-rakan perihal kebaikan yang telah dilakukan anak-anak. Sekali dengar, kebanyakan apa yang diceritakan olehnya adalah perkara yang kecil sahaja. Tetapi sifat tulus penghargaan dia itu terhadap kebaikan yang telah dilakukan anak-anak menyedarkan aku bahawa yang kecil-kecil itu sebuah kejayaan juga.
Galak sekali Kak Ain bercerita tentang Tuah, yang guru sekolahnya memuji dia bahawa sekarang Tuah sudah tidak nakal seperti dulu. Sudah berubah jadi budak baik. Galak juga Kak Ain bercerita tentang Daniel yang bercerita kepada kami tentang imaginasinya sedang drift di dalam Syurga kemudian jatuh ke dalam sungai susu. Dan ketika anak-anak masih mengingat cerita Talhah RA yang dipanah daripada segenap arah dalam peperangan, yang pernah diceritakan Kak Ain kepada mereka beberapa minggu sebelum itu, Kak Ain rasa sangat gembira. Kak Ain juga kelihatan sungguh gembira apabila anak-anak sudah pandai dan senang untuk mengucapkan kata-kata yang baik meskipun masih terbiasa dengan kata-kata yang buruk.
Sungguh, semua ini hal-hal yang biasa tetapi bukan yang biasa-biasa daripada pandangan matanya. Kerana perbuatan anak-anak ini semua adalah sebuah perbuatan yang menunjukkan peribadi manusia yang mempunyai nilai-nilai murni.
Perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kemajuan anak-anak untuk menjadi manusia yang lebih baik. Perbuatan-perbuatan kecil yang dilakukan anak-anak Khairiyah ini, selalu merupakan kejayaan yang tidak dianggap. Kita selalu mengharapkan sesuatu yang besar, yang terang dan yang jelas. Sebenarnya banyak perkara sudah jelas dan terang, cuma akibat terlalu terang kita menjadi silau. Bahkan boleh menjadi buta. Kenalilah kejayaan anak-anak hari ini, baru kita mampu mengakui kejayaan mereka waktu akan datang. Bahkan kalau sesuatu yang kecil kita sukar menghargai, apa yang boleh buat kita terfikir kita mampu menghargai sesuatu yang besar?
Sungguh, anak-anak Khairiyah sangat istimewa dengan caranya tersendiri.