New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/03/kisah-malang-gadis-dikelar-perlu-jadi-iktibar/
Kisah malang gadis dikelar perlu jadi iktibar
KUALA LUMPUR, 3 Februari:
Tindakan seorang lelaki yang mengelar leher seorang pelajar wanita berusia 19 tahun semalam perlu dijadikan iktibar kepada semua kaum wanita di luar sana.
Penceramah bebas yang juga profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kaum wanita tidak perlu mempunyai teman lelaki sebelum kahwin dan bertemanlah hanya dengan suami atau adik beradik terdekat sahaja.
Menurutnya, mereka juga dinasihatkan supaya tidak mudah jatuh hati dengan ayat-ayat pujian lelaki asing serta tidak keluar dengan lelaki secara berdua-duaan.
“Jangan bagi ruang lelaki menyangka kalian sedang menerimanya kelak nanti mungkin dia akan gila bayang dan mengekori kalian di mana-mana.
“Gunakan kuasa jeritan sekuat mungkin untuk meminta tolong jika diugut keluar berduaan khususnya dengan pisau dan juga jangan buka pintu bila dipanggil lelaki asing secara seorang diri atau suasana tidak selamat,” katanya dalam entri Facebooknya di sini.
The Rakyat Post semalam melaporkan Nursyuhada Johari, 19, meninggal dunia selepas dikelar di bahagian leher oleh teman lelakinya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang dekat Taiping, Perak.
Dalam kejadian berkenaan, Nursyuhada kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang.
Tambah Zaharuddin lagi, kaum wanita juga digalakkan supanya memperbanyakkan sedikit ‘sangka buruk’ apabila berurusan dengan lelaki sebagai perlindungan diri dari terleka dan lalai.
Jelasnya, mereka perlu mengelakkan daripada berfikir ‘takkanlah dia nak buat begitu’ apabila bersama lelaki, kerana ia mungkin meleset sama sekali.
“Nasihat ini umum buat semua jenis lelaki termasuk yang tua, muda, pak lebai, imam masjid, ustaz, tok guru, bomoh ustaz, polis dan lain-lain kerana adakalanya lelaki ini berniat baik, namun suasana yang terlalu kondusif untuk kejahatan memanggil-manggil untuk mengambil kesempatan.
“Apabila tanpa sengaja berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram, segera keluar dari situasi tersebut secepat mungkin. Nasihat ini mungkin tiada kaitan secara langsung dengan kisah pelajar malang terbabit namun sekadar menasihati agar wanita menutup ruang musibah daripadanya dianiaya lelaki dari berlaku,” ujarnya.