Kita selalu cepat menyalahkan orang apabila ada hal berlaku tidak mengikut kesesuaian kita. Kadangkala disebabkan masalah-masalah kecil yang tidak disengajakan.
Aku teringat sebuah kisah yang aku baca lama dulu, berkisar seorang suami yang sedang pulang ke rumah, membeli buah-buahan atas pesanan isterinya, namun ternyata buah itu busuk apabila hendak dimakan. Sang isteri merungut dan marah kerana hajatnya untuk memakan buah-buahan tersebut tidak terpuaskan.
Sang suami kemudian berkata, "Kepada siapakah engkau marah?"
"Kalau kepada aku, apakah kau kira aku ingin memilih dan memakan buah yang busuk?"
"Kalau kepada peniaga, apakah kau kira dia sengaja menjual buah yang rosak hingga nanti tidak ada lagi pelanggan datang kepadanya?"
"Jadi kepada siapakah engkau marah? Apakah kepada Allah?"
Ya, kepada siapakah sebenarnya kita marah?
Kalau kita fikirkan tidak ada orang yang suka apabila dimarah. Kalau boleh semua orang akan cuba mengelakkan perkara yang boleh buat orang marah. Tetapi manusia ini sifatnya kadang terlupa, lalai dan penat. Keadaan-keadaan inilah membuatkan mereka kadang tidak sengaja membuat kesalahan.
Bukan kerana mereka mahu. Tetapi bak kata orang, "Benda sudah nak jadi". Takdir Tuhan.
Disinilah datang peranan kita untuk memaafkan. Ia juga mengingatkan diri bahawa tidak ada perkara yang berlaku tanpa sebab. Mungkin Tuhan ingin mengajarkan kita sesuatu; kesabaran misalnya bahawa tidak segala hal harus menurut kehendak kita. Maka kita harus sabar dan ikhlaskan apa yang berlaku.
Justeru, jangan mudah marah-marah. Takut-takut yang kita marah itu sebenarnya Allah.