Sayu Melihat Bulan
Selamat datang malam seribu bulan. Saya rindu, walau tahu kedatangan ini bersama sejuta dosa, hati yang kurang bersih dan serba kekurangan dalam segalanya.
Pagi ini sayu melihat bulan yang sudah separuh penuh. Memang tahu sudah di fasa akhir Ramadhan, sekejap sahaja rasanya. Masa semakin cepat dan sangat cepat.
20 Ramadhan 1440. Tiada apa yang paling membahagiakan bila tahun ini masih lagi bersama orang tua di fasa fasa terakhir Ramadhan. Abah seperti selalu memang yang terawal membancuh kopi jam 3 pagi. Saya ambil semangat orang tua berusia 70 tahun ini untuk memaksa diri bangun dari katil yang empuk, comforter yang amat menyelesakan.
Kalau ikut hati, penat,mengantuk, malas. Saya mahu ke masjid Khalid Al Walid, entah tak tahu kenapa saya rindu tempat itu. Emak pula mahu ke masjid keramat sahaja. Sedikit kecewa di awal pagi, hati memberontak sedikit. Mujur dapat mengawal emosi sambil cuba memahami, kenapa emak mahu ke sana pula. Tiap tahun, masjid Khalid Al Walid lah tempat kami berQiam dan bersahur.
Bila sampai di masjid, ohhh baru saya faham. Emak, abah nampak gembira bila berjumpa kawan kawan mereka di situ. Ya, tahun ini kawan kawan baik mereka kebanyakkannya bersolat di situ. Tak apalah, mungkin selama ini saya terlalu mementingkan emosi dan rindu sendiri, dan mereka turutkan sahaja. Melihat riak wajah mereka yang begitu gembira, saya menjadi lebih rasional. Malu pula emosi sendiri pagi pagi tadi. 🤦🏼♀️.
Begitulah hati ni, kadang kadang lembut, kadang kadang keras.











