“Aku rasa macam nak bunuh diri.”
Sali memandang Azhar yang kelihatan berkerut keningnya, seperti menahan rasa sedih. Dia memang baru lepas menangis setelah dimarahi bos tadi di hadapan rakan-rakan kerja yang lain. Tapi, itu bukan isunya. Sali ada masalah lain.
“Bro, kau nak bunuh diri kau saja atau bunuh sesiapa saja?” mata Azhar terangkat menatap rakannya yang disangka sewel itu.
“Aku nak tamatkan penderitaan aku. Bos aku sangat abusive.”
“Tapi, kalau kau bunuh bos kau, bukan ke akan lagi mudahkan masalah kau? Kau dapat hilangkan penderitaan kau, memandangkan dia punca penderitaan kau,” Sali memberi cadangan baru kepada Azhar.
Azhar kelihatan berfikir sejenak sebelum menggeleng kepalanya berkali-kali. “Aku tak nak jadi pembunuh. Aku bukan pembunuh, Sali. Aku cuma nak tamatkan perjalanan yang terlampau panjang ni. Kau takkan faham!”
“Rileks, Azhar. Jangan marah aku. Nanti aku bunuh kau pulak,” Sali cuba bergurau.
Azhar tidak begitu gembira mendengar lawak Sali yang dia terasa sangat tidak kelakar itu. “Kau patut diam. Kau cuma menambah masalah.”
“Ok, macam nilah Azhar. Aku cuma nak buat deal dengan kau je. Sebab kau pun rancang nak tinggalkan dunia ni, apa kata kau tolong aku?”
Azhar mula tidak senang mendengar kata-kata rakannya itu. Apalah yang bermain di fikiran rakannya yang dikira bermasalah itu. Tapi lidahnya tidak larat menghentikan rakannya dari menyambung kata-katanya.
“Tolong aku buat kali terakhir. Bunuh bos aku. Lepas tu, kau bunuhlah diri kau sendiri,” Sali berkata, ringkas. Mungkin tak ringkas dari segi patah perkataan, tapi ringkas dari segi maksud.
Azhar boleh faham benar apa maksudnya, tiada berselindung langsung. Sali selalunya cakap berbelit-belit tapi disangka puitis. Namun kali ini begitu mudah menangkap maksudnya kerana maksud itu sendiri adalah perkataannya.
“Tolonglah aku, Sali. Aku benci bos aku.”
“Tapi kau benci semua orang! Kalau aku bunuh bos kau, kau akan terus cari orang lain yang ada rasa nak bunuh diri untuk bunuh orang seterusnya yang kau benci. Rasa benci dalam hati kau tu yang perlu diubati. Aku pun benci bos aku, tapi aku tak ada rasa nak bunuh dia! Aku bunuh diri aku sendiri. Tak menyusahkan sesiapa, tak menyedihkan keluarga, isteri atau anak-anak dia,” Azhar menyembur Sali dengan ceramah yang panjang lebar.
“Itu aku akan fikirkan lepas bos aku mati. Aku takkan janji apa-apa, macam kau buat dekat diri kau sekarang,” Sali membalas dengan tenang.
“Aku tak payahlah cakaplah, kau dah boleh faham sendiri.”
Azhar diam. Bodoh. Bodoh kawan aku ni. Memang otak udang, otak letak dekat kepala lutut.
“Kau tak faham ke? Kau nak bunuh diri sebab kau janji dengan diri kau yang kau akan dapat kehidupan yang lebih baik lepas kau mati. Kau dah tak payah hadapi lagi tekanan dalam hidup. Tapi kau tak tahu keadaan di alam lain. Macam mana kalau ada cabaran lagi besar. Apa kau nak buat? Lagi-lagi kalau kau tak boleh lepaskan diri. Apa yang kau dah lakukan terhadap diri kau sendiri? Kau janjikan kesenangan, tapi mungkin kau akan beri kesusahan untuk diri kau,” Sali membalas bidasan Azhar dengan lebih panjang lima belas saat.
Azhar menjerut kolar baju Sali dengan rakus. Wajahnya memerah penuh kemarahan, hidungnya kembang-kempis menahan nafas dan tangisan. Pipinya bergetar-getar, sikit lagi suaranya akan berubah.
“Kau tak tahu apa yang aku hadapi selama ni! Kau tak tahu macam mana susahnya aku bangun pagi setiap hari, tahan diri aku dari ambil pisau dan tusuk dada aku! Kau tak tahu betapa menggodanya bawa kereta laju-laju di jalan besar malam-malam dan lepaskan kawalan kereta! Kau tak tahu semua tu! Yang kau tahu cuma kebencian dalam hati kau! Dendam dalam diri kau! Kau tak tahu kesusahan orang lain! Kau tak tahu bos kau pun hadapi masalah yang sama! Kau cuma nak senangkan diri kau dan tak fikir pasal orang lain. Aku tak nak susahkan orang lain, aku cuma nak hentikan kesengsaraan aku je!” Azhar mula mencekik rakannya itu membuatkan naluri untuk hidup Sali timbul dan dia melawan serangan rakannya.
Mereka bergelut beberapa ketika. Sali meludahi muka Azhar yang hanya kembali ke wajahnya. Sali cuba menggigit Azhar namun bibir mereka bertautan dan bertemu cumbuan yang hangat antara kedua-dua rakan yang sudah terlalu lama mengenali satu sama lain. Pengarang tidak mahu cerita ini berubah kepada roman picisan yang hangat satu ketika dahulu di penerbitan buku alternatif, maka mari kita hentikan cerita ini dan cuba ambil pengajaran daripadanya.
Antaranya, hati-hati dengan perasaan benci yang melampau antara rakan-rakan kerana bolehlah berubah kepada rasa cinta yang tiba-tiba. Orang muda juga perlu mengelakkan dari berdua-duaan kerana yang ketiganya pasti syaitan, dan yang keempatnya pengarang yang akan memalukan orang-orang muda itu.