New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/04/07/pegawai-polis-kanan-dakwa-dipukau/
Pegawai polis kanan dakwa dipukau
Anggota polis kanan wanita memberitahu Mahkamah Majistret bahawa dia secara tidak sengaja melepaskan seorang tahanan yang dikenali sebagai ‘Casanova’, dua tahun lalu.
ASP L. Chandkumary, 56, berkata dia tidak ingat apa-apa ketika insiden itu dan hanya sedar dia berada dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan dengan berpakaian seragam polis.
Dalam soal balas oleh peguamnya, Danny C. Navarednam, dia memberitahu mahkamah bahawa sebelum kejadian, tahanan itu memandangnya dengan tajam.
“Dia terus merenung saya dan pada masa sama, mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.
“Tubuh saya rasa lemah dan kepala saya sakit. Saya tidak dapat berkata apa-apa waktu itu. Saya seperti dikawal oleh sesuatu, saya tidak dapat jelaskan.
“Saya tidak ingat apa yang berlaku. Apa yang saya ingat, saya berada di dalam kereta seorang diri.
“Kereta itu diletakkan di tepi jalan. Saya bingung. Saya percaya pada waktu itu, tahanan tersebut melarikan diri,” katanya.
Apabila ditanya peguam, kenapa dia memberi RM50 kepada polis peronda untuk membeli makanan sebelum kejadian, Chandkumary berkata, dia tidak mempunyai niat jahat.
Katanya, ia sebagai pemberian selaku pegawai kanan dan waktu itu, sudah tiba masa makan tengah hari.
Chandkumary yang mendakwa tahanan itu ‘memanipulasi’ mindanya, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan.
Untuk kesalahan pertama, dia dituduh melepaskan K. Prabaharan, 47, yang menghadapi tuduhan menipu, pada jam 1.50 petang, 9 Oktober 2013, di Kompleks Mahkamah George Town.
Chandkumary boleh dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali, jika dia didapati bersalah di bawah Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan.
Untuk pertuduhan kedua, Chandkumary didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut, pada jam 8.05 malam.
Sekiranya didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan, denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Majistret, Dianne Ningrad Nor Azhar menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 April ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib.