New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/09/saya-tidak-ada-baju-nombor-satu-azmin/
Saya tidak ada baju nombor satu - Azmin
‘Saya memang tak ada baju nombor satu (pakaian istiadat),” kata Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Gombak, Mohamed Azmin Ali ketika ditanyakan mengenai pemakaian baju hitam di Pembukaan Mesyuarat Majlis Parlimen Ke-13 penggal ketiga hari ini.
Beliau juga berkata, seragam hitam adalah pakaian rasmi yang dipersetujui mereka berdasarkan kad jemputan yang diterima.
“Ini pakaian rasmi kita, kita ikut kad jemputan. Saya memang tak ada baju nombor satu. Itu adalah pilihan, tak semestinya kena pakai (baju putih). Sebab kami membangkang keputusan yang tidak benarkan Anwar hadir ke Parlimen.
“(Pakaian) ini bukan keputusan muktamad, terpulang kepada masing-masing,” katanya ketika ditemui wartawan di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli mengesahkan bahawa pemilihan baju hitam adalah sebagai tanda protes terhadap keputusan yang menolak permohonan untuk Anwar hadir menyertai sidang Dewan Rakyat.
Tindakan itu juga selainnya sebagai tanda protes dengan keputusan hakim yang menyatakan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
“Ini sebagai tanda protes terhadap dua perkara, pertama ialah keputusan kehakiman dan keputusan dewan tak benarkan Anwar datang ke Parlimen sedangkan dia masih Ahli Parlimen dan ketua pembangkang yang sah.
“Esok pun kalau contohnya ucapan Anwar tidak dibenarkan untuk dibaca, kita akan protes lagi sehingga keadilan diberikan kepada beliau.
“Kita maklumkan kepada whip parti masing-masing terpulang kepada parti, DAP pun telah keluarkan arahan yang sama, PAS itu kena tanya Datuk Mahfuz,” tegas Setiausaha Agung PKR itu.
Manakala bagi Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar mengatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang makluman berkenaan pemakaian itu ekoran baru pulang dari Australia.