New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/25/hudud-bn-tidak-perlu-tergesa-gesa-nyata-pendirian/
Hudud: BN tidak perlu tergesa-gesa nyata pendirian
Barisan Nasional (BN) tidak perlu tergesa-gesa menyatakan pendirian berhubung pelaksanaan undang-undang hudud yang dibawakan PAS.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud itu merupakan usul persendirian dan tidak pasti bila ia dapat dibentangkan di Parlimen.
“Dalam peraturan Parlimen, rang undang-undang persendirian hanya boleh dibahaskan, setelah semua urusan kerajaan selesai.
“Oleh sebab itu, belum sampai masanya, BN tak perlu tergesa-gesa.
“Jadi, dalam hal ini, BN tidak seharusnya mendahului tuan punya rang undang-undang, iaitu PAS dan PR (Pakatan Rakyat),” kata Annuar kepada pemberita di Parlimen, pada Rabu.
Menurut Annuar lagi, kemelut berhubung isu hudud itu juga masih belum selesai dalam PR itu sendiri dan juga masyarakat umum.
“Hudud ini masih di peringkat PAS dan PR, di mana masih ada isu-isu yang belum selesai. Kita tak perlu campur.
“BN kena dengar dahulu semua pendapat, sebab ini isu penting yang sentuh agama dan keharmonian,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut berkongsi pendapat sama.
Menurut beliau, setakat ini, tiada sebarang penerangan atau penjelasan rasmi dibuat PAS kepada BN berhubung usul RUU persendirian hudud itu yang boleh dijadikan asas atau panduan untuk parti memerintah menyatakan pendirian.
Malah katanya, beliau sendiri tidak menerima sebarang panggilan daripada pemimpin PAS untuk diberikan penjelasan, bagi mendapatkan sokongan.
“Saya ada satu undi, daripada Sabah pula.
“Saya pun hairan, kenapa pihak PAS tidak pernah menghubungi saya, memberikan penerangan tentang apa yang mereka mahu buat tentang hudud ini.
“Saya langsung tak tahu hujung pangkal.
“Saya hanya baca di akhbar, tetapi kalau saya dari PAS, nak kan sokongan, kita kena berusaha untuk pastikan ahli-ahli Parlimen, sama ada Muslim atau bukan, Sabah dan Sarawak, faham apa dia hendak bawakan,” kata Abdul Rahman.