“Di tangan lelaki yang tepat, solatmu akan diingatkan, auratmu akan dijaga, adabmu akan ditegur dan agamamu akan dibimbing.”
Seolah-olah kebaikan seorang wanita hanya sah bila ada lelaki yang “menjaganya”.
Seolah-olah iman kita hanya hidup bila ada tangan lain yang memimpin. Sedangkan hakikatnya, di zaman wanita berdikari dan bekerjaya ini, yang lebih mendesak bukan mencari lelaki untuk mengingatkan, tetapi yang selalu ingin upgrade diri sendiri menjadi wanita yang qanaah, yang sedar dan beragama walaupun tiada siapa memerhati.
Kalau seumur hidup kita menunggu satu susuk untuk mengingatkan tentang solat, menjaga aurat, menegur adab dan tanggungjawab, maka apa sebenarnya yang kita sediakan untuk anak-anak yang akan kita didik nanti?
Adakah iman itu pinjaman? yang hanya hidup bila ada pasangan, dan mati bila perkahwinan berakhir?
Itulah yang paling menyedihkan. Bila seorang wanita berubah selepas berkahwin, namun apabila diuji atau diceraikan, dia kembali kepada diri yang lama…lalu dikatakan, “itu bukan diri dia yang sebenar.”
Hakikatnya, itulah diri yang tidak pernah dibina dari dalam. Ia cuma bergantung. Dan jujur, ayat itu sangat mengecewakan.. kerana ia merendahkan keupayaan wanita untuk beriman dengan kesedaran sendiri.
Lelaki yang baik itu peneman, bukan asas. Pembimbing itu pelengkap, bukan sumber iman. Wanita yang benar-benar kuat akan tetap menjaga solatnya walau siapa pun di sisinya.
Akan tetap menjaga auratnya walau tiada yang menegur. Dan akan tetap beradab kerana dia tahu Tuhannya melihat…bukan kerana suaminya ada.
Dan itulah wanita yang bila diuji, tidak runtuh bersama runtuhnya rumah tangga. Kerana dia berdiri di atas iman yang dibina sendiri.