New Post has been published on The Rakyat Post BM Version
New Post has been published on http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/23/pr-sifatkan-bajet-2015-untuk-orang-kaya/
PR sifatkan Bajet 2015 untuk orang kaya
KUALA LUMPUR, 23 Oktober:
Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan Bajet 2015 seperti bajet untuk negara orang kaya dan mendakwa tidak mengambil berat golongan berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pembentangan Bajet 2015 yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memberi sebarang kelebihan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
“Selepas subsidi petrol ditarik balik, rakyat menunggu Belanjawan 2015 dengan harapan supaya bebanan yang ditanggung mereka diambil peduli, tetapi malangnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak langsung mengambil berat tentang penderitaan rakyat.
“Subsidi sedikit demi sedikit ditarik balik, lebih memeritkan apabila kerajaan akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun hadapan,” katanya pada program ‘Bicara Harakah: Bajet 2015, Di Mana Pincangnya’.
Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan alasan kerajaan melaksanakan GST kerana Petronas sudah kekurangan minyak tidak boleh diterima pakai.
“Kenapa mahu membebankan rakyat dengan GST sedangkan semua ini berlaku kerana kerajaan lemah dalam mengendalikan hasil negara.
“Mereka sepatutnya melakukan banyak inovasi dan melakukan proses cari gali seperti yang dilakukan oleh kerajaan Korea supaya negara sentiasa mempunyai hasil yang dapat menampung perbelanjaan,” katanya.
Menurutnya, Korea satu ketika dahulu berada sama kedudukan dengan Malaysia daripada segi ekonominya tetapi kini sudah jauh meninggalkan Malaysia kerana pemimpin mereka sentiasa melakukan inovasi dan sering menimba ilmu daripada negara lain.
“Dahulu, Korea pernah menghantar rakyatnya ke Malaysia untuk menimba ilmu dengan Felda dalam bidang pertanian dan mereka pulang ke negara mereka lalu mempraktikkan pula di negara mereka.
“Korea belajar daripada kita tetapi mereka jauh lebih maju kerana mereka melakukan beberapa inovasi dalam bidang pertanian. Kita pula hanya berada di takuk lama,” katanya.
Tambahnya, jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya memerintah Malaysia, mereka akan mengetengahkan program inovasi supaya hasil negara dapat dikembangkan dan rakyat pula dapat hidup dengan senang tanpa perlu menanggung GST.